Sunday, May 19, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    Perkasa generasi muda dengan jati diri teguh

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Program Jati Diri (PJD) merupakan satu inisiatif yang amat penting, kerana ia tidak hanya memberikan peluang kepada belia untuk meningkatkan kemahiran, tetapi juga membentuk aspek-aspek keperibadian yang sangat diperlukan seperti sifat kepimpinan, kedayatahanan, disiplin, kekuatan mental dan spiritual.

    Perkara itu ditekankan oleh Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah dalam ucapannya pada Majlis Pembukaan PJD bagi Kohort 6 yang berlangsung di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Temburong, kelmarin.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Wawasan) di JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad; Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh.

    Dalam ucapannya lagi, Haji Mohamad Azmi turut menekankan pentingnya bagi memperkasa generasi muda dengan kemahiran yang relevan serta nilai-nilai jati diri yang teguh supaya mereka boleh memainkan peranan yang aktif dan berkesan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi serta menyumbang kepada pembangunan negara.

    Beliau juga menyarankan ibu bapa dan penjaga untuk terus memberikan sokongan dan dorongan padu sebagai motivasi dan pembakar semangat bagi para pelatih dan untuk terus berjuang demi mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.

    Haji Mohamad Azmi ketika menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara pelatih yang menyertai PJD bagi Kohort 6. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Terdahulu, Pemangku Pengarah Perancangan Tenaga Manusia, Hajah Noraini binti Haji Mohd Jamudin dalam ucapan alu-aluan merakamkan harapan supaya PJD akan dapat merapatkan jurang kemahiran dan membentuk mindset para pelatih agar mereka menjadi lebih employable serta industry-ready.

    Beliau juga mengongsi bahawa seramai 699 orang pelatih telah tamat latihan sejak PJD diperkenalkan dan hasil daripada kaji selidik para pelatih kohort 2 hingga kohort 5 telah mendapati 95 peratus secara purata bersetuju bahawa PJD akan dapat membantu
    mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

    Pada majlis berkenaan, turut ditayangkan ialah video yang menunjukkan perjalanan pelatih PJD daripada kohort sebelum ini termasuk sesi dialog industri, Hari Kerjaya, aktiviti-aktiviti fizikal, keagamaan dan lain-lain.

    PJD merupakan program usaha sama antara Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM) di bawah JPM, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN).

    Seramai 74 orang pelatih yang terdiri daripada pelajar iSkills kohort 6 di IBTE daripada program iSkills bagi Industrial Skills Qualification (ISQ) dalam jurusan Blasting & Painting, Marking and Fitting, Rigging dan Scaffolding akan menjalani latihan PJD selama 90 hari.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...