Sunday, May 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Omicron XBB: Malaysia jangka peningkatan kes

    SEREMBAN, 21 OKT – Kementerian Kesihatan (KKM) Malaysia menjangkakan berlaku sedikit peningkatan kes COVID-19 untuk beberapa minggu akan datang berikutan pengesanan gelombang kecil subvarian Omicron XBB di negara ini.

    Menterinya Khairy Jamaluddin menasihati orang ramai supaya tidak bimbang dengan perkembangan itu namun perlu sentiasa berwaspada ketika menjalankan kehidupan harian memandangkan negara masih dalam fasa peralihan ke endemik.

    “Kita dah kesan XBB di Malaysia namun setakat ini ia tidak membawa kepada peningkatan dari segi kemasukan ke hospital dan kematian, itu yang menjadi kayu ukur terpenting. Bagi saya kita tengok ada sedikit peningkatan, masing-masing buat penilaian risiko, tiada yang perlu dibimbangkan setakat ini.

    “Sejauh mana ia akan meningkat, pegawai saya di KKM sedang membuat unjuran berdasarkan kepada model jangkitan yang kita ada sebelum ini dan minggu depan saya dapat memberi unjuran lebih tepat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban di sini, hari ini. 

    Kementerian Kesihatan Singapura sebelum ini dilapor memaklumkan kes COVID-19 di negara itu kembali meningkat sejak sebulan lepas berpunca terutama oleh subvarian Omicron XBB dengan gelombang jangkitan XBB dijangkakan memuncak pada pertengahan November ini.

    Khairy berkata meskipun kemungkinan berlaku peningkatan kes berkenaan di negara ini, KKM tidak mempunyai perancangan untuk mengembalikan sebarang sekatan termasuk pelaksanaan kembali pemakaian pelitup muka. 

    “Fasa peralihan ke endemik mesti mengambil kira mutasi virus kepada varian baharu, kalau datang varian baharu tidak dijangkakan yang boleh meningkatkan kebolehjangkitan, kesan dan gejala maka kita akan semak balik (pakai pelitup muka), tetapi setakat ini tidak,” katanya. – Bernama

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (kiri) menyantuni penuntut universiti pada Program Agihan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Seremban, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...