Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Muzium Futuristik dibuka di Dubai

    DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU – Dubai akan membuka pintu kepada bangunan seni bina mengagumkan yang menempatkan Muzium Future baharu, struktur tujuh tingkat yang memberikan bayangan dunia yang dijana oleh tenaga solar dan cita-cita negara Teluk Arab untuk membangunkan negaranya.

    Muzium berbentuk cembung itu merupakan reka bentuk menakjubkan yang tidak memaparkan tiang, sebaliknya bergantung pada rangkaian alang atau bumbung pepenjuru. Ia ditutup dalam tingkap yang diukur oleh kaligrafi Arab, menambah satu lagi elemen reka bentuk menarik perhatian kepada latar langit amat moden di Dubai yang berkilauan bersama menara tertinggi dunia, Burj Khalifa.

    Muzium Future melambangkan cita-cita Dubai untuk dilihat sebagai bandar moden ketika sistem politiknya masih berakar-umbi dalam pemerintahan turun-temurun dan had batasan ke atas jenis seni bina yang dibenarkan. Ia merupakan pencapaian terbaharu untuk Dubai, yang menjadi negara pertama di Timur Tengah untuk menganjurkan Pameran Dunia.

    “Adalah penting untuk membangun dengan pesat disebabkan kami perlu menyaingi negara lain,” kata Sarah Al-Amiri, menteri teknologi moden UAE dan pengerusi Agensi Angkasa Lepas UAE. “Sebelum 1971, kami tidak mempunyai rangkaian jalan raya asas, tidak ada pendidikan asas, rangkaian elektrik dan sebagainya.”

    UAE pada tahun lalu mengumumkan ia akan menyertai senarai negara yang meningkat dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, beralih daripada penggunaan bahan fosil yang menjana pertumbuhan Semenanjung Arab itu.

    Seorang pekerja menerima pelawat di Muzium Future di Dubai. – AP
    Seorang lelaki mengambil gambar di Muzium Future di Dubai. – AP
    Pengunjung melawat Muzium Future, ruang pameran untuk idea inovatif dan futuristik di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. –AP

    Bagaimanapun, muzium yang menumpu pada masa depan mampan itu mendedahkan konflik di antara usaha negara Teluk Arab untuk meneruskan pengeluaran minyak dan gas dan janji dunia untuk mengurangkan pelepasan karbon, termasuk janji UAE dalam mencapai sifar pelepasan pada 2050.

    Tambahan pula, muzium itu menjemput pelawat supaya menggunakan deria mereka dan memutuskan penggunaan telefon, namun skrin digital dan pengalaman maya dapat dilihat dalam semua kelengkapan mereka.

    Muzium itu juga menggalak pelawat memikirkan mengenai keadaan planet dan biodiversiti di sebuah bandar yang meraikan penggunaan, kemewahan dan konsumerisme.

    Al-Amiri berkata matlamat kempen muzium ke arah masa depan mampan dan planet sihat tidak harus menghambat kemajuan dan pertumbuhan ekonomi.

    “Ia perlu bersifat futuristik, dan bukan hanya mewujudkan peluang baharu daripada cabaran yang kami semua hadapi,” kata beliau.

    Pengarah kreatif muzium, Brendan McGetrick, berkata mengatasi perubahan iklim ‘tidak bermakna awda perlu kembali menjalani gaya hidup pemburu.’

    “Sebenarnya awda boleh meneruskan kemajuan dan terus berinovasi, tetapi ia harus dilakukan dengan kesedaran mengenai hubungan kami dengan planet dan atas sebab-sebab itu, kami mempunyai banyak kerja untuk dilakukan,” katanya.

    Matlamat muzium adalah mendorong orang memikirkan mengenai apa yang mungkin dicapai dan menyalurkannya kepada tindakan dunia sebenar, tambahnya.

    Pelawat ke Muzium Future disambut oleh jurupandu kecerdasan buatan bernama ‘Aya.’ Dia mengalu-alukan orang untuk mengalami masa depan dengan teksi terbang, ladang angin dan dunia yang dijana oleh struktur raksasa yang mengelilingi bulan yang dipenuhi pelbagai panel solar yang memancarkan tenaga ke arah titik pertemuan di bumi, di mana manusia berkembang maju dan biodiversiti planet termasuk spesies tumbuhan inovatif yang kalis api.

    “Apa yang kami cuba lakukan adalah mewujudkan wawasan mengenai apa yang akan berlaku sekiranya kami membayangkan ruang yang dijadikan sebagai sumber perkongsian,” kata McGetrick.

    Muzium membayangkan projek tenaga kolektif manusia dikuasai oleh stesen angkasa lepas bergelar OSS Hope, perkataan sama dalam bahasa Arab di mana UAE menamakan misi pengumpulan data kehidupan sebenar daripada atmosfera Marikh. Tahun lalu, UAE menjadi negara Arab pertama yang melancarkan misi antara planet.

    Masa depan yang dibayangkan oleh muzium juga menerima inspirasi dari ela lampau Islam dengan corak planet yang mengagumkan dalam sistem solar yang dipetakan oleh astrolab, peranti kompleks yang dikemaskini oleh saintis Muslim semasa Era Keemasan Islam bertujuan membantu dalam pelayaran, masa dan pemetaan cakerawala.

    Ciri-ciri Arab dipamerkan di seluruh muzium, termasuk ruang meditasi yang membentuk sebahagian daripada pengalaman sensor yang berpandukan getaran, cahaya dan air. Tiga elemen berkenaan membantu kehidupan untuk puak-puak di Semenanjung Arab.

    Bandar Teluk yang telah muncul daripada padang pasir sejak beberapa dekad lalu membongkar perubahan seismik dalam cara penduduk di rantau hidup, berinteraksi serta berhubung dengan alam semula jadi.

    “Adalah penting untuk terus berevolusi dan berkembang dan memahami jenis kebudayaan yang mendorong kemajuan,” kata Al-Amiri.

    “Mewujudkan norma-norma baharu dan cara hidup baharu serta cara hidup bersama baharu adalah tidak salah.”

    Apa yang paling menakjubkan mengenai muzium itu adalah ruang bercermin gelap yang disinari oleh tiang-tiang silinder kaca kecil dengan ilusi DNA haiwan dan spesies yang telah pupus, termasuk beruang kutub dengan habitat Artik kini diancam suhu panas.

    Dalam landskap masa depan ilusi ini, keadaan planet dipantau sama seperti denyutan manusia serta suhu.

    Konsep Muzium Future dicipta oleh Killa Design, firma seni bina berpangkalan di UAE.

    Killa Design berkata bangunan itu, berdepan lebuh raya utama Dubai, telah mencapai status LEED Platinum, pemeringkatan di seluruh dunia yang dikhaskan untuk reka bentuk alam sekitar paling menjimatkan tenaga di dunia. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...