Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Otai kayuh basikal demi sebar kesedaran iklim

    SHARM EL-SHEIKH, MESIR — Dia mengayuh basikalnya beribu-ribu batu dari Sweden ke pusat peranginan Laut Merah Mesir di Sharm el-Sheikh hanya untuk menyampaikan mesej ringkas iaitu hentikan perubahan iklim.

    Perjalanan itu membawa aktivis berusia 72 tahun, Dorothee Hildebrandt dan e-basikal merah jambunya yang dipanggilnya Miss Piggy, berdasarkan watak dari The Muppet Show lebih daripada empat bulan. Dia merentasi Eropah dan Timur Tengah sehingga tiba di Sharm el-Sheikh, di hujung selatan Semenanjung Sinai.

    Misi beliau adalah untuk meningkatkan kesedaran dan menggesa para pemimpin dunia yang berkumpul di persidangan iklim tahunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dikenali sebagai COP 27 untuk mengambil langkah konkrit menghentikan perubahan iklim, katanya.

    Pelepasan gas rumah hijau terus meningkat dan para saintis berkata jumlah gas yang memerangkap haba perlu dikurangkan hampir separuh menjelang 2030, untuk memenuhi matlamat pengehadan suhu dalam Perjanjian iklim Paris pada 2015.

    Sejak ketibaannya seminggu yang lalu, Hildebrandt dan e-basikalnya telah menjadi sorotan di persidangan. Dari tempat penginapan rakannya, kira-kira 15 kilometer dari pusat persidangan, dia berbasikal ke tempat COP 27 setiap hari, bertemu aktivis lain dan menghadiri acara. Ramai yang berminat untuk mengambil gambar bersamanya di sekitar tempat persidangan itu.

    Dorothee Hildebrandt menunggang basikalnya menuju ke sidang kemuncak iklim PBB COP 27 di Sharm el-Sheikh. – AP
    Basikal Dorothee Hildebrandt yang dipanggilnya Miss Piggy diletakkan di sidang kemuncak iklim PBB COP 27. – AP
    Hildebrandt melakukan persiapan sebelum melakukan pejalanannya. – AP
    Dorothee Hildebrandt keluar dari apartmen untuk menunggang basikalnya ke sidang kemuncak iklim PBB COP 27 di Sharm el-Sheikh, Mesir. – AP

    “Mereka benar-benar perlu menghentikan perubahan iklim,” kata Hildebrandt kepada pemimpin dunia.

    “Ia tidak selesa menurut saya… perjalanan yang panjang ini,” jelasnya kepada The Associated Press.

    Tetapi dia mahu menunjukkan bahawa jika ada kemahuan, awda boleh melakukannya.

    Rundingan iklim yang lalu secara tradisinya menyaksikan bantahan yang sangat besar pada penghujung minggu pertama sidang kemuncak dua minggu yang selalunya menarik ribuan orang. Tahun ini kebanyakannya sepi, dengan demonstrasi sekali-sekala dan kecil pada minggu pertama. Aktivis menyalahkan kos perjalanan, penginapan dan sekatan yang tinggi di bandar terpencil Mesir kerana mengehadkan bilangan penunjuk perasaan.

    Demonstrasi terbesar setakat ini adalah sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden singgah di sidang kemuncak itu. Beratus-ratus penunjuk perasaan melaungkan, menyanyi, dan menari di kawasan tidak jauh dari tempat rundingan itu berlangsung di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat.

    Dilahirkan di bandar Kassel di Jerman tengah, Hildebrandt berkata dia mendapat basikal pertamanya pada usia 10 tahun dan tidak pernah berhenti mengayuh. Pada tahun 1978 dia berpindah ke Sweden dan berkahwin dengan bekas suaminya.

    Dia bersara pada 2015. Aktivisme dan berbasikalnya, yang didokumentasikannya di media sosial, adalah untuk kanak-kanak dan generasi selanjutnya di dunia, katanya. Papan tanda pada basikalnya berbunyi, ‘Berbasikal untuk masa depan dan keamanan’.

    Di kampung halamannya di Katrineholm, yang terletak 150 kilometer barat daya Stockholm, ibu negara Sweden, dia mengasaskan GrandmasForFuture – Katrineholm di bandar itu. Kumpulan itu memberi tumpuan kepada meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim antara lainnya.

    Hildebrandt berkata dia juga mahu negara perindustrian Barat membayar untuk kemusnahan yang telah mereka lakukan setakat ini iaitu isu yang dikenali sebagai kerugian dan kerosakan, mengenai pembaikan daripada pencemaran besar ke selatan global yang paling terjejas.

    Tidak berpuas hati dengan keputusan persidangan iklim COP 26 sebelumnya di Glasgow, Scotland, dia melihat peluangnya di Sharm el-Sheikh.

    Bermula pada 1 Julai lalu, Hildebrandt berbasikal melalui 17 negara, meliputi 8,228 kilometer, dengan purata kira-kira 80 kilometer sehari. Posting di laman Facebooknya mendapat ribuan tontonan dan berkata dia menerima maklum balas positif daripada pengikut dan orang yang dia temui sepanjang perjalanan.

    Di bandar pantai Antalya di Turki, basikalnya mengalami kerosakan. Seorang penunggang basikal, yang bekerja dalam sektor pelancongan di bandar, membawa Hildebrandt dan basikalnya ke mekanik untuk dibaiki, dan dia dapat meneruskan perjalanan.

    Di Lubnan, dia menaiki teksi dari bandar pelabuhan Tripoli ke Beirut untuk keselamatannya.

    Dia kemudian diiringi pemandu pelancong mandatori dengan kenderaan dan pemandu untuk pergi ke sempadan Jordan melalui Syria.

    “Saya boleh menggunakan basikal saya di seluruh Syria, tetapi kosnya terlalu tinggi untuk saya,” katanya.

    Malah di Sinai, pihak berkuasa tempatan menghalangnya daripada berbasikal dari pelabuhan Nuweiba ke Sharm el-Sheikh, nampaknya untuk keselamatannya, katanya.

    Namun, dia yakin dia telah menyampaikan mesejnya. Pada Khamis baru-baru ini, dia dijemput untuk berbasikal dengan Presiden Mesir, Abdel-Fattah el-Sissi, yang juga gemar berbasikal. Dia bertanya kepada presiden tentang kekurangan protes besar, berbanding sidang kemuncak sebelumnya. Dia berkata el-Sissi berkata protes tidak dihalang di Mesir.

    “Semua orang dibenarkan berdemonstrasi di mana-mana di Kaherah dan Sharm el-Sheikh” katanya kepada Hildebrandt.

    COP 27 telah memberi tumpuan kepada tindakan keras selama bertahun-tahun terhadap perbezaan pendapat di Mesir, di mana kebanyakan protes awam diharamkan secara berkesan oleh pihak berkuasa.

    Selepas sidang kemuncak berakhir pada 18 November, Hildebrandt akan berbasikal ke Kaherah, kemudian ke bandar Mediterranean Alexandria sebelum ke pelabuhan Israel di Haifa dan dari sana, ke Greece. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...