Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Padah curi kad debit rakan sebilik

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Mahkamah Majistret, hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap seorang anggota beruniform kerana mencuri kad debit ATM dan wang tunai yang dikeluarkan menggunakan kad berkenaan, milik rakan sebiliknya di sebuah berek di kem Sungai Akar.

    Mahkamah juga memerintahkan mangsa diberi pampasan $200, atau berdepan penjara tambahan selama seminggu lagi.

    Menurut pihak pendakwaan, SLD 54155 Abdul Wafi bin Mohd Nordin, 19, telah bertugas dalam jawatannya sejak Januari 2022.

    Pendakwa Raya Sabrina binti Haji Mahmud memaklumkan mahkamah bahawa pada 21 September pukul 5 petang, mangsa yang merupakan rakan sebilik defendan di berek berkenaan telah pergi ke mesin ATM di sebuah pusat beli-belah apabila menyedari kadnya hilang daripada beg duitnya.

    Dia kemudian menyemak akaunnya melalui aplikasi dalam talian dan mendapati terdapat pengeluaran berjumlah $200 daripada akaunnya.

    Dia kemudiannya membuat semakan dengan pihak bank dan segera membuat laporan ke Balai Polis Berakas di mana siasatan membawa kepada perbuatan defendan.

    Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid mendengar bahawa defendan telah melakukan perbuatan itu pada pukul 9 malam 20 September semasa defendan berada di dalam bilik manakala mangsa dan rakan sekerja lain keluar.

    Dia menyelongkar beg galas mangsa di dalam almari pakaian dan mengeluarkan
    beg duit lalu terjumpa kad ATM kemudian mengambilnya.

    Dia kemudian menyertai rakan yang lain dan bertanya tarikh lahir mangsa.

    Keesokan harinya, defendan pergi ke mesin ATM di sebuah pusat beli-belah dan memasukkan tarikh lahir mangsa sebagai nombor PIN.

    Mengetahui ia berjaya, dia kemudian mengeluarkan $200 daripada akaun tersebut.
    Pada sebelah malam, defendan mengambil kesempatan untuk memulangkan kad ATM berkenaan ke dalam beg galas mangsa bagaimanapun, dia tidak mengembalikannya ke dalam beg duit.

    Defendan mengakui bahawa dia telah membelanjakan wang itu untuk tayar keretanya dan perbelanjaan peribadi lain.

    Dalam mitigasinya, defendan memohon pengampunan dan kelonggaran sepenuhnya daripada mahkamah dalam mempertimbangkan hukumannya.

    Majistret Dewi Norlelawati mengecam tindakan defendan dan melihat keperluan untuk pencegahan.

    Majistret berkata bahawa “defendan sepatutnya meletakkan peranan teladan dan sebagai anggota beruniform, dia mempunyai kewajipan untuk melindungi orang ramai. Tindakan defendan tersebut telah merosakkan nama baik pasukan beruniform.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...