Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Panduan perkumpulan ramai dikemaskinikan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jawatankuasa Pandu COVID-19 memaklumkan mengenai pengemaskinian syarat-syarat garis panduan perkumpulan ramai dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti dalam negara bermula, 2 April, iaitu tidak lagi mengambil status vaksinasi sebagai syarat untuk memasuki mana-mana premis atau penyertaan dalam aktiviti-aktiviti dalam negara.

    Perkara itu diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dalam kenyataan semasa media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Oleh demikian, jelas Yang Berhormat Pehin lagi, semua individu dibenarkan untuk kembali bertugas, tanpa mengira status vaksinasi.

    “Sementara itu, untuk meneruskan pemantauan keadaan jangkitan COVID-19 di negara ini, semua petugas sama ada di sektor awam mahupun sektor swasta adalah disarankan untuk menjalani ujian pantas antigen (ART) sekali seminggu di mana penyediaan dan kos kit ART adalah tertakluk kepada majikan masing-masing.”

    Yang Berhormat Pehin menyatakan lagi, “Syarat tambahan yang berkuat kuasa ketika ini, di mana mereka yang belum melengkapi vaksinasi adalah dikehendaki untuk mendapatkan sijil keputusan ART yang negatif sebelum memasuki premis-premis, adalah dengan ini dibatalkan.”

    Beliau menyatakan bahawa Jawatankuasa Pandu COVID-19 akan terus memantau dan meneliti situasi semasa COVID-19 di mana garis panduan-garis panduan yang berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa. Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, bolehlah melayari laman sesawang Jabatan Perdana Menteri di alamat, www.jpm.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...