Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Pantau barang-barang jualan

    Semenjak aplikasi PenggunaBijak diperkenalkan oleh pihak relevan, ia telah memudahkan para pengguna di negara ini untuk mendapatkan maklumat perbandingan harga.

    Namun, ia agak sukar bagi golongan warga emas untuk mengaksesnya kerana kebanyakan mereka kurang mahir dalam penggunaan aplikasi di telefon bimbit. Memang tidak dinafikan mereka boleh saja mendapat bantuan daripada orang lain namun alangkah baiknya jika ada inisiatif lain daripada pihak relevan atau syarikat-syarikat perniagaan memudahkan warga emas mengetahui maklumat mengenainya.

    Selain aplikasi, terdapat perkara lain yang saya ingin suarakan di sini. Isu kenaikan harga barangan memang sudah lumrah dan pengguna pun terpaksa mencari jalan mengimbangi kadar pendapatan dan kos barangan yang sudah acap kali disuarakan. Namun bagaimana halnya dengan penjual yang masih menjual barangan melepasi tarikh luput?

    Perkara ini berlaku kepada saya ketika membeli di sebuah kedai di kawasan kediaman saya. Disebabkan teringin membuat sejenis hidangan, saya mencari bahan asas diperlukan dan Alhamdulillah mendapati harganya agak murah berbanding kedai lain. Namun apa yang membantutkan langkah saya adalah makanan yang dijual itu sudah pun melepasi tarikh luput. Mujurlah saya seorang yang peka membaca label yang ada, jika tidak saya mungkin sahaja sudah membeli dan memakannya.

    Apabila ditanya kepada pekedai, mereka mengatakan ia satu kesilapan. Mungkin ia boleh dimaafkan jika benar kesilapan manusia, tetapi jika orang ramai tidak peka dan menegurnya, kemungkinan sahaja ia dijual dan yang ruginya adalah pembeli.

    Ketika membeli di kedai lain, situasi sama berlaku, barangan sama mempunyai tarikh luput serupa. Adakah pihak pekedai ini tidak melakukan pemeriksaan sebelum meletaknya di rak. Malahan, sudah banyak kali saya mengalami perkara sama seperti ini, ada juga yang dijual murah, tetapi tarikh luputnya hanya dalam seminggu dua lagi. Jangan kerana sesetengah pengguna tidak terlalu peka dengan label tarikh atau sebagainya, mereka mengambil kesempatan.

    Apa yang saya ingin sentuh di sini juga, diharap pihak pekedai atau mana-mana yang berkaitan selenggarakanlah barang-barang jualan dengan betul. Ini kerana terdapat juga kerosakan berlaku kepada barangan yang dijual meskipun tarikh luputnya masih lama akibat tempat penyimpanan barang kurang bersesuaian.

    Justeru diharap pihak relevan, bukan hanya memantau harga jualan pekedai tetapi harus menekankan pengendalian penyimpanan barang jualan dan memastikan barang jualan tidak melepasi tarikh luput.

    Asmah

    ATAS & BAWAH: Gambar menunjukkan bahan yang sudah melepasi tarikh luput tetapi masih dijual dan keju keping yang berkulat berkemungkinan disebabkan tempat penyimpanan yang kurang bersesuaian. – Gambar perkongsian penulis

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...