Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Pasar Gadong: 8 positif COVID-19

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Lapan individu yang bekerja di Pasar Ikan Gadong dan Pasar Serbaneka Gadong telah didapati positif COVID-19 setelah menjalani pemeriksaan ujian ART mingguan yang diungkayahkan oleh Jabatan Bandaran pada 7 Februari lalu.

    Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong bagi menjawab isu mesej tular berkaitan dengan jangkitan positif COVID-19 dalam kalangan peniaga Pasar Ikan Gadong baru-baru ini, semasa berlangsungnya sidang media, petang tadi.

    Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan bahawa Jabatan Bandaran telah melaksanakan pemeriksaan ujian ART kepada peniaga-peniaga di Pasar Ikan Gadong dan bangunan bersebelahannya, Pasar Serbaneka Gadong, secara rutin setiap minggu.

    Beliau menambah bahawa berikutan dengan pemeriksaan ujian ART yang diungkayahkan, lapan orang yang didapati keputusan positif itu terus diarahkan untuk menjalani ujian swab atau PCR dan mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) pada lazimnya.

    “Lapan orang yang terjangkiti itu terdiri daripada dua orang peniaga dan selebihnya merupakan pembantu peniaga.

    “Setakat ini, empat orang sudah disahkan positif melalui ujian swab yang dilaksanakan manakala empat orang lagi masih menunggu keputusan ujian swab mereka,” kongsi Yang Berhormat Pehin lagi.

    Sehubungan itu, beliau turut mengemukakan bahawa para peniaga yang didapati positif berkenaan tidak dibenarkan untuk meneruskan aktiviti jualan mereka buat sementara waktu namun peniaga-peniaga yang lain tetap dibolehkan melakukan jual beli mereka sehari-hari.

    “Menyaksikan situasi sebegini, para peniaga dan pengunjung perlulah sentiasa mematuhi dan mengamalkan SOP dari semasa ke semasa apabila keluar dan masuk premis-premis berkenaan,” tegasnya.

    Yang Berhormat Pehin menekankan lagi bahawa pihak jabatan akan sentiasa menjalankan pemantauan dan mengadakan pembersihan di premis-premis berkenaan demi sama-sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai dan peniaga-peniaga yang berada di kawasan tersebut.

    Gambar fail peniaga melayan pelanggan di Pasar Ikan Gadong. Empat individu di pasar tersebut telah didapati positif COVID-19 setakat ini setelah menjalani ujian ART mingguan yang diungkayahkan oleh Jabatan Bandaran.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...