Sunday, May 19, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Pembangunan modal insan terus diberi perhatian

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Kerajaan akan terus memberikan keutamaan terhadap usaha-usaha untuk meningkatkan prestasi dan kualiti sistem pendidikan, mengukuhkan pendidikan teknikal dan vokasional termasuk peningkatan daripada aspek keupayaan tenaga pengajar, serta latihan profesional.

    Ia adalah bagi memastikan penyesuaian berterusan terhadap perubahan persekitaran ekonomi serta penyelarasan modal insan dengan keperluan pasaran pekerjaan di negara ini.

    Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa membentangkan fokus belanjawan ketiga pada Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa bagi menyejajarkan perancangan tenaga manusia dengan marketability dan employability anak tempatan untuk mendapatkan pekerjaan yang mampan dan menguntungkan, Manpower Industry Steering Committee (MISC) telah ditubuhkan sebagai sebuah platform untuk mendukung visi Manpower Planning and Employment Council (MPEC).

    MISC juga akan menyelaras antara industri, institusi pendidikan dan institusi latihan ke arah memenuhi permintaan industri serta memastikan bekalan sumber manusia yang mencukupi pada waktu yang tepat.

    Penglibatan sektor swasta melalui 71 buah syarikat yang telah dilantik selaku ahli Kumpulan Kerja MISC bagi sektor-sektor tenaga, pembinaan, ICT, hospitaliti dan pelancongan, dan pengangkutan dan logistik, memainkan peranan penting dalam memberikan maklum balas keperluan tenaga kerja dan latihan mengikut perspektif industri masing-masing.

    Selain daripada menyediakan inisiatif pembangunan kemahiran, MPEC juga telah memperkenalkan Program Jati Diri (PJD) bagi memperkukuhkan kedayatahanan, integriti, disiplin dan tanggungjawab anak tempatan agar lebih bersedia untuk menceburi alam
    pekerjaan.

    Pihak MPEC juga menyediakan garis panduan gaji di sektor swasta sebagai langkah yang penting ke arah memastikan pencari kerja dan pekerja tempatan menerima gaji yang bersesuaian mengikut kemahiran dan produktiviti mereka di setiap peringkat tangga
    kerjaya.

    Garis panduan tersebut berfungsi untuk membantu sektor swasta dalam mewujudkan pakej gaji yang kompetitif dan menarik bagi membolehkan pekerja tempatan memperoleh pekerjaan yang bermakna dan mengekalkan mereka dalam sebuah pekerjaan.

    Ini seterusnya akan meningkatkan kerjaya individu tersebut dalam profesion yang diceburi.

    Beberapa inisiatif khusus bagi meningkatkan employability golongan pencari kerja tempatan termasuk golongan yang mempunyai kelulusan rendah juga telah
    diperkenalkan.

    Selain itu, SkillsHub telah dilancarkan untuk menyediakan sebuah platform yang mengumpulkan bekalan latihan daripada operator dan syarikat industri tempatan. Ia dihasratkan untuk menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat bagi tenaga kerja
    tempatan.

    Rangka Kerja Kompetensi Industri ICT Brunei (BIICF) telah dilancarkan pada Ogos 2022 dengan matlamat untuk memastikan profesional ICT tempatan mempunyai kompetensi ICT relevan untuk melaksanakan tugas dan membimbing mereka dengan kemahiran
    yang diperlukan yang selaras dengan keperluan industri.

    Rangka kerja tersebut juga bertujuan untuk memberikan standard kompetensi kepada institusi pendidikan tinggi dan penyedia latihan, yang akan menjadi rujukan dalam merancang kurikulum dan program latihan masing-masing.

    Bagi penyediaan pekerja tempatan yang berkemahiran khususnya dalam bidang kejuruteraan, Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd telah menawarkan program biasiswa termasuk latihan industri kepada seramai 802 orang pelajar iaitu seramai 167 orang pelajar dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah dianugerahkan biasiswa dalam bidang Kejuruteraan Proses dan Kimia bersama UBD dan Universiti Zhejiang, Republik Rakyat China.

    Manakala, seramai 211 orang pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah dianugerahkan biasiswa dalam bidang Kejuruteraan Kimia dengan kerjasama Lanzhou Petrochemical Polytechnic College, Republik Rakyat China.

    Selain itu, Kementerian Kesihatan dan Syarikat EVYD Technology telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama National University of Singapore, Saw Swee Hock School of Public Health, Singapura sebagai kerjasama untuk mengukuhkan sistem kesihatan termasuk dasar kesihatan, aktiviti akademik dan saintifik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...