Sunday, May 19, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Pemeriksaan keluar, masuk Labuan dan Sabah dikuat kuasa

    KUALA LUMPUR, 31 OKT – Jabatan Imigresen akan menguatkuasakan pemeriksaan kawalan keluar dan masuk bagi semua pergerakan pelawat antara Labuan dan Sabah bermula esok.

    Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata penguatkuasaan pemeriksaan itu selaras dengan keperluan untuk meningkatkan aspek keselamatan dan kawalan sempadan di Sabah.

    Beliau berkata pada masa ini pemeriksaan hanya dijalankan secara rawak bagi pergerakan keluar masuk pelawat antara kedua-dua destinasi itu. 

    “Menteri Dalam Negeri semasa lawatan rasmi ke Labuan pada 10 Sept lepas mengarahkan Jabatan Imigresen melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat bagi pergerakan pelawat dari Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan Terminal Feri RO-RO, Labuan ke Sabah.

    “Arahan dikeluarkan ini selaras dengan permintaan kerajaan negeri Sabah sendiri supaya pemeriksaan imigresen dilaksanakan ke atas pelawat yang memasuki Sabah dari Labuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khairul Dzaimee berkata pemeriksaan keluar dan masuk dari Labuan ke Jeti Jesselton Point serta Jeti Tanjung Pagar, Sabah akan diadakan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

    “Bagi pemeriksaan masuk pelawat dari Labuan ke Jeti Menumbok, Sabah pula akan diadakan di Jeti RO-RO Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan, manakala pergerakan keluar pelawat dari Jeti Menumbok, Sabah ke Labuan akan diadakan di Jeti Menumbok,” katanya.

    Beliau berkata menerusi penguatkuasaan itu, semua kategori pelawat akan menjalani pemeriksaan imigresen untuk keluar dan masuk antara Labuan dan Sabah.

    Menurutnya pelawat yang disekat masuk atau keluar dengan arahan daripada Pihak Berkuasa Negeri Sabah perlu memohon Surat Kemudahan Pelepasan bagi tujuan pergerakan.

    “Bagaimanapun beberapa pengecualian akan diberikan khususnya kepada warganegara yang menetap di Labuan dan berulang alik ke Sabah untuk tujuan bekerja,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...