Friday, June 2, 2023
23.6 C
Brunei

    -

    Penganjuran Sukan Asia Hangzhou amat dinantikan – Thomas Bach

    BEIJING, 22 MEI – Pengalaman dalam penggunaan semula gelanggang stadium pertandingan oleh China mampu menjadi teladan untuk penganjuran Sukan Olimpik edisi yang seterusnya, kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach.

    Beliau berkata demikian ketika diwawancara Kumpulan Media China (CMG) di Gelanggang Luncur Laju Kebangsaan atau lebih dikenali sebagai Reben Ais, baru-baru ini.

    “Kemudahan Sukan Olimpik bukan sahaja digunakan semula, tetapi dibuka kepada awam.

    Sementara stadium-stadium Sukan Olimpik Beijing pula dipenuhi pengunjung yang melakukan aktiviti ais dan salji pada musim sejuk yang baru berlalu,” kata beliau.

    Menurut Bach, meskipun aktiviti ais dan salji sudah wujud sejak sekian lama di dunia, namun skalanya meningkat ketara selepas lebih 300 juta warga China terlibat dalam aktiviti terbabit setelah penganjuran Sukan Olimpik Beijing musim sejuk 2022.

    Ia sekali gus menjadi penanda aras dalam sejarah aktiviti sukan ais dan salji serta catatan perkembangan Olimpik antarabangsa, katanya.

    Mengulas mengenai Sukan Asia yang bakal diadakan di bandar Hangzhou dengan tema ‘Heart to Heart, @Future’, Bach berpendapat bahawa slogan itu selaras dengan moto Olimpik yang menggalakkan golongan belia untuk bersatu padu dan bersama-sama menuju ke masa hadapan.

    “Sukan Asia mempunyai kedudukan yang sungguh signifikan dalam sukan Olimpik, dan juga temasya sukan komprehensif dengan skala paling besar di sesebuah rantau setakat ini.

    “Kami mengikuti perkembangan Asia yang dinamik dan tersentuh melihat minat golongan belia terhadap sukan.

    “Saya menanti penganjuran Sukan Asia Hangzhou dan pasti akan menghadiri temasya sukan itu,” kata beliau. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    AS, Jepun modenkan pakatan tentera

    TOKYO, 1 JUN – Amerika Syarikat (AS) dan Jepun sedang berusaha untuk memodenkan pakatan ketenteraan mereka dalam menghadapi ancaman dari China, Korea Utara dan...
    - Advertisment -