Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Pengundian calon penghulu guna tiga kaedah

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 6 FEB – Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Lamunin telah diadakan secara pandu lalu seawal 8 pagi tadi di Balai Raya Kampung Lamunin, Daerah Tutong, salah satu daripada tiga kaedah bagi pengundian yang digunakan.

    Pengundian dan pemilihan secara pandu lalu itu disaksikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit, selaku Penghulu Mukim Telisai dan pemangku penghulu Mukim Ukong serta Mukim Kiudang dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohd Amirul Hadi bin Haji Mohd Tajuddin.

    Terdahulu, Awang Mohd Amirul Hadi semasa berucap pada majlis pengundian dan pemilihan calon itu, mengatakan pengundian kali ini menggunakan tiga kaedah iaitu undian secara dalam talian melalui aplikasi e-Undi PMKK yang dibuka bermula 4 Februari lalu, kaedah luar talian (penggunaan tablet) dan penggunaan kertas undi rasmi yang disediakan oleh urus setia majlis pengundian (undian pandu lalu).

    Menurutnya, kaedah secara dalam talian dan luar talian merupakan kaedah baharu dilaksanakan di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong, pada sesi-sesi pemilihan dan pengundian penghulu mukim dan ketua kampung melalui kebenaran Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang merupakan inisiatif baharu kementerian untuk memudahkan penduduk kampung melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi calon penghulu atau ketua kampung mereka.

    Beliau turut meluahkan harapan, sistem itu dapat menggalakkan segenap lapisan masyarakat yang layak mengundi memainkan peranan mereka.

    Awang Mohd Amirul Hadi ketika berucap pada Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Lamunin.
    Salah seorang penduduk mukim menjalankan tanggungjawab melalui pengundian kertas secara pandu lalu.

    “Ini adalah penting bagi pemilihan dan pengundian yang mana sebarang keputusan pemilihan dan pengundian adalah hasil daripada penyertaan anak buah kampung yang lebih mendalam atau menyeluruh untuk menentukan pemimpin akar umbi yang akan memimpin sesebuah mukim atau kampung,” tambahnya.

    Pada majlis pengundian dan pemilihan calon penghulu Mukim Lamunin, calon tunggal ialah Awang Mohd Jaafar bin Haji Tinggal, 55, yang merupakan ahli Majlis Perundingan Kampung Lamunin dan pernah bertugas sebagai penolong pegawai tanah di Jabatan Tanah, Daerah Tutong sebelum bersara daripada perkhidmatan kerajaan.

    Seramai 285 orang penduduk mukim atau kampung daripada seramai 417 orang yang berdaftar dan layak mengundi telah mengundi calon untuk mengisikan kekosongan jawatan penghulu Mukim Lamunin.

    Daripada jumlah itu, 20 orang telah mengundi menggunakan aplikasi e-undi PMKK, empat orang menggunakan tablet dan 261 orang menggunakan kertas undi. Daripada jumlah yang telah mengundi tersebut, seramai 280 orang bersetuju dan empat tidak bersetuju, manakala satu undi rosak.

    Keputusan itu akan dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...