Monday, May 20, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Pengundian PRU15 Malaysia pada 19 Nov

    PUTRAJAYA, 20 OKT – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian untuk pengundi Malaysia melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Mengumumkan tarikh penting itu di sini hari ini, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.

    Pelaksanaan pilihan raya itu akan melibatkan 222 kerusi Dewan Rakyat di seluruh negara dan negeri yang telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak yang melibatkan 59 kerusi DUN, Pahang (42) dan Perlis (15).

    Turut diadakan serentak adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

    “Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 5 Nov sehingga pukul 11:59 malam, 18 Nov,” kata Abdul Ghani dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berkaitan urusan pilihan raya berkenaan di sini hari ini.

    Abdul Ghani berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU15 dan PRK DUN N66 Bugaya adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt 2022. 

    “DPPR bagi PRU15 ini mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih,” katanya. Daripada jumlah itu, 20,905,366 adalah pengundi biasa, 146,737 anggota tentera serta pasangan, 118,794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. 

    Abdul Ghani dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat itu
    berkata DPPR bagi PRU15 dijadualkan mula dijual pada 31 Okt. – Bernama

    Tan Sri Abdul Ghani Salleh (kanan) mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada sidang media Mesyuarat Khas Urusan PRU ke-15 di Menara SPR kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...