Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Peniaga cakoi bantu mangsa banjir, sumbang infak daripada dermawan

    SEPANG – Niat pasangan suami isteri yang menjual cakoi pada mulanya ingin menyedekahkan makanan jualan mereka kepada mangsa banjir di sekitar Dengkil membawa berkat kerana orang ramai turut menyumbang yang membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan.

    Ahmad Munzir Shahril, 41, berkata dia dan isterinya terfikir untuk menghulurkan cakoi infak dengan modal sendiri bermula 20 Disember lalu kerana simpati dengan mangsa banjir yang sukar mendapat makanan, lebih-lebih lagi kepayahan itu pernah dirasai sendiri.

    “Kesusahan yang dialami sendiri dulu ketika banjir sukar mendapat makanan membuatkan saya nekad menolong mereka yang terkesan sekarang. Dulu banjir saya tolong orang bersihkan rumah tetapi sekarang saya boleh sedekahkan makanan kerana ada kepakaran memasak,” katanya kepada Bernama.

    Ahmad Munzir berkata cakoi yang telah digoreng akan dihantar ke rumah mangsa banjir selain pusat pemindahan sementara (PPS) kerana kebanyakan mereka pulang ke rumah masing-masing menjenguk kemusnahan selepas banjir.

    “Mangsa banjir yang berada di rumah untuk kerja pembersihan sukar mendapat makanan kerana sibuk bersihkan rumah selain tiada kenderaan untuk bergerak kerana sudah dimasuki air.

    Ahmad Munzir Shahril, mengagihkan kuih cakoi dari gerainya Cakoi Krabi di Taman Desa, Jenderam Hilir kepada mangsa banjir. –Bernama
    Ahmad Munzir Shahril dibantu isterinya Nurul Farah Hamizah, menyediakan kuih cakoi di gerainya Cakoi Krabi di Taman Desa, Jenderam Hilir untuk diinfaqkan kepada mangsa banjir di sekitar Dengkil baru-baru ini. –Bernama

    Oleh itu saya nekad menginfakkan cakoi jualan saya dan menghantar dari rumah ke rumah. Walaupun tidak seberapa saya harap cakoi ini dapat mengalas perut mereka sebelum menyambung kembali tugasan membersihkan rumah,” katanya.

    Ahmad Munzir berkata beliau tidak menyangka niat untuk memberi cakoi infak kepada mangsa banjir turut mendapat perhatian orang ramai selepas dikongsi di laman sosial.

    “Selepas itu ramai hantar mesej tanya bagaimana untuk menyumbang kepada mangsa banjir.

    Kebanyakan sumbangan diterima daripada pelanggan tetap dan peniaga pasar tani dan saya berjaya mendapat kira-kira RM1,000,” katanya.

    Katanya sumbangan itu membolehkan beliau dan isterinya menghulurkan bantuan lain selain cakoi seperti air minuman, makanan kering dan pampers.

    Isterinya Nurul Farah Hamizah, 25, pula berkata sumbangan orang ramai menaikkan semangat mereka kerana boleh membantu lebih ramai orang yang terjejas.

    “Mangsa banjir di rumah lebih terjejas dan memerlukan bantuan terutama makanan berbanding mereka di PPS kerana semua peralatan memasak musnah dan tiada barangan elektrik berfungsi,” katanya. –Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...