Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Perajurit: Julang ikrar, sumpah setia negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    Setiap kali menjelang Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) 31 Mei, corong-corong radio tempatan akan mengumandangkan lagu-lagu bersemangat patriotik seperti Pahlawan Bangsaku, Purih Bangsa, Tekad Satria dan lainnya.

    Muzik dan lirik lagu-lagu berkenaan bukan saja membuat bulu roma meremang setiap kali mendengarnya tetapi ia membawa pengaruh dan menaikkan semangat serta membangkitkan jiwa patriotik untuk berjuang demi negara.

    Esok, genaplah 61 tahun usia ABDB. Satu tarikh cukup istimewa untuk memperingati segala jasa dan bakti angkatan tentera yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi kesejahteraan bangsa dan keselamatan negara.

    Merekalah pejuang kita, wira negara yang akan mempertahankan mahkota bumi Darussalam dalam memikul tanggungjawab amanah yang diikrarkan dan mendukung sumpah setia pada negara.

    Sudah setentunya, pasukan tentera yang memiliki keperibadian yang berkualiti dari segi fizikal dan mental amat diperlukan oleh negara lebih-lebih lagi dalam mengorak langkah proaktif untuk mengekalkan keamanan, kedamaian dan juga keselamatan sejagat. Itulah harapan terbesar negara.

    Helikopter ABDB ketika menghulurkan bantuan memadam kebakaran hutan di Kampung Rimba sekitar awal Mei lalu. – Gambar fail
    Gambar ramai di hadapan Balai Ibadat Hajah Aminah yang telah diubahsuai menerusi Projek Titian Amal ABDB pada penghujung bulan Februari lalu – Gambar fail

    Bersama Menjayakan Wawasan Negara

    Dengan membawa tema sambutan tahun ini, Bersama Menjayakan Wawasan Negara adalah selaras dengan tema Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

    Ia juga sejajar dengan tugas dan tanggungjawab ABDB dalam menanai keselamatan dan keamanan negara yang semakin multi-functional sepertimana juga yang telah terbukti daripada krisis pandemik COVID.

    Dalam pada itu, tema itu juga menekankan ABDB akan terus memberikan tumpuan kepada pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation agar dapat sama-sama menyumbang dan memastikan kestabilan, keamanan dan kesejahteraan negara akan berkekalan dinikmati dan disyukuri.

    Oleh yang demikian, ke arah merealisasikan aspirasi tersebut, ABDB akan terus memperkembangkan serta mempertingkatkan kapasiti dan kemampuan warganya, melalui peningkatan kemahiran profesionalisme yang lebih berkualiti sekali gus memartabatkan kewibawaan institusi terbabit sebagai sebuah angkatan tentera yang dihormati dan rakan kerja yang mantap, untuk sebuah negara yang selamat.

    Di samping itu, ABDB juga akan terus mempersiapkan diri daripada semua aspek pertahanan lebih-lebih lagi dalam mempertingkatkan hubungan diplomasi pertahanan walaupun berhadapan dengan pandemik COVID yang telah menjejaskan seluruh aspek kehidupan dan memaksa negara mengadaptasi norma baharu agar ia sentiasa relevan seiring dengan wawasan negara.

    Pegang tonggak pertahanan holistik

    Tanpa golongan perwira ini, sudah pasti sesebuah negara itu akan berada dalam keadaan tidak selamat dan berdepan ancaman daripada dalam negara mahu pun luar negara.

    Sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Bangunan Baharu Pusat Pendidikan Sekuriti (PPS) di Bolkiah Garison pada 26 Mei lalu antaranya menekankan Kementerian Pertahanan dan ABDB merupakan tonggak pertahanan yang memainkan peranan sangat penting dalam memelihara keamanan, kesejahteraan dan keselamatan negara justeru pengurusan yang cekap dan berkesan amat diperlukan pada semua peringkat kepimpinan.

    Dalam pada itu, antara yang ditegaskan oleh Baginda ialah pegawai kanan ABDB tidak boleh bermegah dengan imej luaran semata-mata jika kepimpinan dan penguasaan masih lemah. Selain itu, tidak memadai jika keterampilan sahaja yang hebat sedang sebaliknya tersembunyi perangai yang menjengkelkan.

    Dari tahun ke tahun, masa silih berganti, sejak penubuhan ABDB pada tahun 1961 pelbagai usaha dan cabaran telah diterokai oleh mereka dalam memperkasa penghayatan nilai-nilai teras ABDB, iaitu ‘Takwa, Setia, Berani dan Profesional’ yang sememangnya merupakan tonggak terpenting dalam menjana, memangkin dan menerajui kemakmuran negara kini dan selamanya.

    Menanai kemaslahatan masyarakat

    Warga ABDB selaku benteng pertahanan bumi Negara Brunei Darussalam turut memegang peranan besar dalam kemakmuran dan keamanan serta kesejahteraan kehidupan rakyat dan penduduk serta persekitaran di negara ini agar sentiasa terjamin keselamatannya.

    Salah satunya melalui kegiatan proaktif mereka dalam membantu masyarakat yang mengalami musibah bencana alam seperti kebakaran dan banjir kilat yang menjejaskan beberapa kawasan pedalaman iaitu dengan melaksanakan bantuan pemindahan mangsa banjir yang terkandas dan barangan ke tempat yang selamat.

    Tidak dilupakan juga, semasa berlangsungnya operasi kawalan COVID dalam negara, di mana anggota ABDB juga memainkan peranan dalam sama-sama membantu pihak kerajaan dan agensi-agensi yang berkepentingan untuk membendung penularan wabak di negara ini seperti memastikan jemaah yang ingin menunaikan solat Fardu Jumaat perlu mengimbas kod QR BruHealth sebelum memasuki masjid.

    Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara pada sekitar bulan Februari lalu antaranya mengongsikan bahawa semenjak bermulanya gelombang kedua pandemik pada Ogos 2021, ABDB telah diberikan kepercayaan dan tanggungjawab yang lebih besar jika dibandingkan dengan fasa pertama melalui penerajuan Pusat Penyelarasan Kebangsaan bagi COVID, N3C19, dengan kerjasama pihak Kementerian Kesihatan.

    Pusat itu berperanan sebagai nadi penggerak utama dalam menentukan keperluan pentadbiran dan merancang operasi yang berbentuk non-clinical bersama kementerian, agensi dan jabatan yang berkepentingan.

    “Walaupun kita bukannya dalam peperangan bersama musuh dari sudut konvensional, namun elemen-elemen perancangan operasi sedia ada yang berlandaskan prinsip, konsep, serta doktrin tentera seperti Command and Control, dan Civil-Military Cooperation (CIMIC) turut dinilai relevan dan diguna pakai dalam mengkoordinasi respons senegara yang lebih teratur dan berkesan dalam operasi yang bersifat kompleks ini,” katanya.

    Yang Berhormat Pehin turut menyatakan Pasukan Petugas COVID turut ditubuhkan sejak 2020 untuk memberi pelbagai bantuan operasi dalam mendukung-tambah kapasiti Kementerian Kesihatan melalui peranan bantuan tenaga dan kepimpinan di pusat-pusat pengasingan, bantuan logistik, ujian makmal dan saringan COVID, pelaksanaan program vaksinasi, operasi masjid serta bantuan khidmat jenazah.

    Selain itu, ABDB juga mengendalikan kerja-kerja membersihkan kubur di tanah perkuburan orang-orang Islam dan masjid-masjid secara bergotong- royong. Aktiviti tahunan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti keagamaan dan kebajikan yang bertujuan meningkatkan pembangunan kerohanian anggota ABDB, di samping mengeratkan silaturahim serta memupuk keinginan untuk berbakti dan menyumbang balik kepada masyarakat di negara ini.

    Dalam pada itu, sebagai salah satu sumbangan amal daripada tanggungjawab sosial yang dilaksanakan setiap tahun, ABDB juga terus komited dalam mewujudkan pendekatannya untuk kepentingan masyarakat di negara ini iaitu menerusi Projek Titian Amal bagi pembinaan bilik penyempurnaan jenazah serta pengubahsuaian Balai Ibadat Hajah Aminah, Kampung Long Mayan, Daerah Tutong yang telah diungkayahkan majlis penyerahan sebagai tanda selesainya projek berkenaan sekitar penghujung Februari lalu.

    Adapun projek tersebut memberi tumpuan kepada pembinaan bilik menyempurnakan jenazah yang baharu dan pengubahsuaian prasarana Balai Ibadat Hajah Aminah termasuk pembinaan ruang dapur dan dewan serba guna yang melibatkan anggota Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan penduduk Kampung Long Mayan.

    Besarnya jasa pengorbanan

    Dalam menjalankan tugas menjaga keamanan dan mempertahankan negara, ada dalam kalangan anggota tentera yang terkorban semasa menjalankan tugas. Kepada anggota ABDB yang telah kembali ke rahmatullah, yang berjuang demi mempertahankan kedaulatan raja dan tanah air tercinta ini, marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT menerima segala pengorbanan yang dicurahkan serta tergolong dalam kalangan insan yang beroleh keampunan dan rahmat Allah SWT. Jasa-jasa mu akan tetap dikenang hingga ke akhir hayat.

    Oleh itu, dengan segala pengorbanan dan kesetiaan yang dicurahkan sepanjang 61 tahun ini, ia diharap akan dapat menanamkan semangat kenegaraan dan perjuangan tinggi dalam diri kita dan juga generasi seterusnya.

    Janganlah kita hanya menyerahkan tanggungjawab itu kepada anggota tentera sahaja. Kita juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam mempertahankan kedaulatan serta mewujudkan sebuah negara sejahtera, memiliki bangsa berkeperibadian tinggi serta pegangan agama yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Selamat menyambut Hari Ulang Tahun ABDB yang ke-61 tahun!

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...