Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Perjalanan Tuchel di Chelsea berakhir

    LONDON, 7 SEPT – Chelsea memecat pengurus Thomas Tuchel hanya tujuh perlawanan di musim ini berikutan kekalahan 1-0 Liga Juara-Juara di Dinamo Zagreb pada rabu.

    Kelab London itu dalam satu kenyataan berkata mereka telah ‘memecat’ pengurus Jerman itu, yang membawa mereka menjuarai Liga Juara-Juara pada 2021 dan mahkota Piala Dunia Kelab awal tahun ini.

    Bekas bos Borussia Dortmund dan Paris Saint-Germain meninggalkan Stamford Bridge selepas 20 bulan mengendalikannya.

    “Bagi pihak semua orang di Chelsea FC, kelab ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Thomas dan kakitangannya atas segala usaha mereka sepanjang bersama kelab itu,” kata kelab Liga Perdana itu dalam satu kenyataan.

    Kelab Stamford Bridge, di bawah pemilik baharu Todd Boehly dan Behdad Eghbali, mempertahankan keputusan itu.

    Aksi Thomas Tuchel (kiri) memberi reaksi ketika perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara UEFA Kumpulan E antara Dinamo Zagreb dan Chelsea di Stadium The Maksimir di Zagreb. Chelsea pada 7 September 2022. – AFP

    “Memandangkan kumpulan pemilikan baharu mencecah 100 hari sejak mengambil alih kelab, dan sambil meneruskan kerja kerasnya untuk membawa kelab ke hadapan, pemilik baharu percaya ia adalah masa yang sesuai untuk melakukan peralihan ini,” kata kenyataan itu.

    Chelsea berada di tempat keenam dalam carta Liga Perdana selepas tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan dalam enam perlawanan pembukaan mereka.

    Kakitangan kejurulatihan Chelsea akan bertanggungjawab ke atas pasukan kerana kelab itu ‘bertindak segera untuk melantik ketua jurulatih baharu’.

    Konsortium Boehly telah membayar yuran rekod dunia sebanyak 4.25 bilion pound untuk membeli kelab Chelsea daripada jutawan Rusia, Roman Abramovich.

    Pemilik baharu itu memberi sokongan ke atas Tuchel semasa jendela perpindahan baru-baru ini, dengan membelanjakan lebih daripada 200 juta untuk pemain baharu termasuk Raheem Sterling, Kalidou Koulibaly, Marc Cucurella, Wesley Fafona dan Pierre-Emerick Aubameyang. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...