Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Perjuangan Pegasus di Liga D berakhir

    Oleh James Kon

    KUALA LUMPUR, 17 OGOS – Pasukan bola keranjang profesional Brunei Darussalam, Pegasus, tersingkir daripada Liga D 2022 Malaysia selepas hanya mencatatkan dua kemenangan daripada enam perlawanan dalam Kumpulan B.

    Selepas mencatatkan kemenangan ke atas Johor Tiger 85-56, Pegasus kecundang dalam dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

    Pasukan Pegasus turut mencatatkan kekalahan kelmarin di tangan Pasukan MBC 80-91 dalam perlawanan penentuan meskipun Marcus Quirk membantu pasukan menjaringkan 37 mata dan 15 rebound. Satu-satunya pemain yang menjaringkan mata dua angka ialah Shean Lin Kuan yang menyumbang 12 mata. Pasukan MBC bermain dengan lebih seimbang di mana Lai Kok Weng memainkan peranan penting untuk pasukan setelah menjaringkan 29 mata dan lima rebound. Tiga pemain lain yang masing-masing menjaringkan 10 mata ialah Lee Kai Ping, Low Ken Yen dan Cheah Zi Hong.

    Pasukan MBC turut mendominasi suku kedua dengan mendahului 53-42. Mereka kemudian melebarkan jurang mata pada penghujung suku ketiga 72-52 dan terus mempertahankan kedudukan sehingga wisel penamat. Dengan kekalahan tersebut, Pegasus gagal untuk mara ke pusingan seterusnya.

    Dalam perlawanan akhir Kumpulan B kelmarin, pasukan pilihan utama, Selangor XXIII membelasah Pegasus 117-71. Meskipun Marcus Quirk hanya bermain dua suku perlawanan namun dia masih berjaya menyumbang 21 mata dan sembilan rebound untuk Pegasus.

    Sementara itu, rakan sepasukannya, Jeremy Chu dan Shean Lin Kuan masing-masing menjaringkan 11 mata.

    Selangor XXIII mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam kejohanan dan lima pemain mereka berjaya menjaringkan mata dua angka. Yap Jin Xi meraih 20 mata, Teow Leng Siang menyumbang 17 mata, manakala Ong Chee Wai dan Zhen Kang masing-masing mencatat 13 mata dan Yap Run Sam melakar 11 mata.

    Pegasus menamatkan saingan berada di tangga kelima liga.

    Penjaring terbanyak pasukan Pegasus, Marcus Quirk semasa ditemu bual oleh wartawan. – Gambar serahan Liga D 2022 Malaysia
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...