Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Perkhemahan mantapkan jati diri belia

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Awang Mohamad Subhi

    Demi melatih golongan belia untuk sentiasa bersiap sedia dalam menempuhi segala cabaran kehidupan mendatang, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Ukong melalui Bahagian Biro Belia telah mengungkayahkan Program Perkhemahan Belia di Kawasan Pertanian Luar Bandar Nong Tadion, Kampung Ukong, baru-baru ini.

    Program empat hari tiga malam itu, dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Tutong, dan Pasukan Simpanan Polis C Kompeni serta disokong oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Pengakap Daerah Tutong, Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Tutong dan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam itu telah disertai oleh 60 orang belia dari seluruh negara.

    Ketua Biro Belia MPK Ukong dan Pengerusi Program Perkhemahan Belia Kampung Ukong 2022, Awang Mohamad Subhi bin Haji Julaihi semasa dihubungi menjelaskan bahawa program perkhemahan berkenaan merupakan penganjuran kali ke-2 dalam rancangan tahunan yang diungkayahkan oleh Bahagian Biro Belia MPK tersebut dan juga kesinambungan program perkhemahan belia yang julung kali diadakan pada tahun 2020.

    “Program yang berkonsepkan survival camping ini bermatlamat bagi mewujudkan pendedahan kepimpinan dalam diri para peserta merangkumi aktiviti-aktiviti fizikal, mental dan rohaniah, di samping membentuk sikap berdikari, semangat kerjasama dan kesetiakawan,” tambahnya.

    Menyentuh mengenai pengisian aktiviti sepanjang program dijalankan, Awang Mohamad Subhi menyatakan program telah dimulai dengan sesi pendaftaran diikuti dengan pencambahan ilmu mengenai budaya Puak Sang Jati (Dusun) Kampung Ukong meliputi keunikan pakaian tradisi, bahasa, dan tarian asli.

    Para peserta turut diketengahkan dengan aktiviti memasak hasil sentuhan resipi asli yang ditunjuk ajar orang tua-tua di kampung berkenaan.
    Antara peserta yang mengikuti program perkhemahan berkenaan.
    Program yang berkonsepkan survival camping ini bermatlamat bagi mewujudkan pendedahan kepimpinan dalam diri para peserta merangkumi aktiviti-aktiviti fizikal, mental dan rohaniah.
    Seramai 60 orang belia dari seluruh negara telah menyahut cabaran mengikuti Program Perkhemahan Belia Kampung Ukong yang diadakan selama empat hari tiga malam.

    Di samping itu, para peserta turut diketengahkan dengan aktiviti memasak dengan sentuhan resipi asli yang ditunjuk ajar orang tua-tua di kampung berkenaan seperti salah satu kulinari tradisi Puak Sang Jati Kampung Ukong iaitu Nubur Lupot dan juga masakan sayur-sayuran ala kampung.

    Program turut dimeriahkan dengan adanya pameran Bushcraft Gallery dan juga pameran Survival mengenai tumbuhan liar dan jerat binatang.

    Melalui program tersebut, para peserta juga diberi peluang untuk mengenali lebih dekat lagi mengenai budaya Kampung Ukong, bahasa pertuturan, makanan, produk kampung, tarian-tarian asli dan sebagainya.

    “Pastinya kami menaruh harapan dengan adanya program dan aktiviti seumpama ini, akan dapat memberikan impak yang luas sebagai ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu bagi generasi muda kita yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah dan institusi tinggi.

    “Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi sama-sama berusaha untuk memberi ilmu serta kemahiran terbaik kepada para belia tanah air agar mereka sentiasa memiliki jiwa motivasi yang tinggi sekali gus sentiasa menyedari akan tanggungjawab mereka sebagai aset negara.

    “Kesedaran ini perlu ada dalam keperibadian diri masing-masing bukan hanya golongan belia agar kita mampu menjadi masyarakat yang sentiasa bangkit tanpa berputus asa menggapai wawasan negara 2035,” ujarnya dengan penuh keyakinan.

    Menerusi program berkenaan, Awang Mohamad Subhi turut menambah program berkenaan pastinya salah satu usaha murni untuk mendidik belia-belia agar sentiasa bersikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain, sentiasa menjaga ukhuwah, identiti diri dan menjaga adab dan tatasusila nilai-nilai kemelayuan sejajar dengan konsep Melayu Islam Beraja (MIB) sambil mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penganjur, peserta dan masyarakat setempat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...