Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Perlu peka jika hujan berterusan

    TUTONG, 2 NOV – Keadaan cuaca yang hujan beberapa hari kebelakangan ini, membuat sebahagian penduduk merasa gelisah, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan-kawasan rendah yang sering dilanda banjir.

    Sebilangan penduduk di kawasan rendah di Daerah Tutong yang sempat ditemu bual menyatakan mereka sentiasa memantau amaran kejadian hujan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMB) dan bersiap sedia menerapkan langkah berwaspada.

    Jika berlakunya hujan lebat secara berterusan, mereka akan memindahkan barangan penting ke tempat tinggi, selain meletakkan kenderaan di kawasan selamat bagi memastikan harta benda mereka tidak terjejas banjir.

    Sementara itu, yang lain menyatakan, jika berlaku banjir terutamanya di kawasan jalan raya menuju ke kawasan kediaman, mereka akan membuat persediaan untuk menumpang di rumah ahli keluarga di kawasan bandar.

    Persediaan dan persiapan tersebut adalah perlu dilakukan untuk meminimumkan kerosakan dan kerugian yang disebabkan oleh banjir selain menyelamatkan nyawa.

    Penanda yang diletakkan di kawasan kerap banjir di Kampung Menglait di ibu negara sebagai langkah amaran.

    Sementara itu, pihak-pihak yang berkenaan menyatakan mereka sentiasa memantau keadaan iklim negara khususnya cuaca hujan yang berlaku beberapa hari kebelakangan ini.

    BDMB dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini memaklumkan keadaan cuaca negara menjadi aktif untuk beberapa hari akan datang terutamanya pada malam, 31 Oktober sehingga 2 November.

    Dalam hubungan itu, BDMB menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif dan keadaan laut bergelora yang diramalkan berlaku.

    Terdapat risiko berlakunya banjir terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Keadaan laut adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil dan semua aktiviti rekreasi serta sukan laut.

    Orang ramai khususnya pemandu di jalan raya dan para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMB serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMB akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Jabatan itu menyatakan lagi maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.

    Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram @bruneiweather.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...