Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Persiapkan diri hadapi arus globalisasi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Pemimpin yang cekap dan berpandangan jauh ke hadapan merupakan pemimpin yang menjadi harapan bangsa, pemangkin dan penentu kejayaan usaha-usaha kerajaan dalam mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara termasuk yang dibawa oleh arus globalisasi yang impaknya semakin dirasai antaranya daripada segi ekonomi, kesihatan, keselamatan, kesejahteraan, peralihan teknologi dan cabaran berkaitan alam sekitar.

    Hakikatnya, terdapat antara cabaran-cabaran itu yang berlaku pada skala membimbangkan, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dalam ucapannya pada Majlis Pembukaan Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-29 dan Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-31 dan ke-32.

    “Contoh yang nyata ialah masalah penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia dan ditambah lagi dengan risiko mutasi varian-varian baharu yang terbukti mempunyai kadar penularan lebih tinggi.

    “Cabaran ini telah banyak mencetuskan norma-norma baharu dalam berbagai-bagai aspek kehidupan seharian mahupun pekerjaan dan tidak dapat disangkal bahawa ia turut memberi impak yang signifikan kepada perbelanjaan dan sumber negara serta mempengaruhi kelancaran serta kesinambungan penyampaian Perkhidmatan Awam,” jelasnya lagi dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, hari ini.

    Yang Berhormat Dato berkata lagi bahawa apa yang dapat dipelajari daripada hakikat itu ialah globalisasi tidak sekali-kali membenarkan kita untuk bersifat leka atau pun senang berpuas hati dengan kelaziman tanpa perlu meneroka jalan-jalan pembaharuan untuk terus melangkah setapak demi setapak ke hadapan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti berucap di Majlis Perasmian EDPSGO ke-29 serta EDPMMO ke-31 dan ke-32 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.

    “Ini kerana di sebalik kebaikan dan keuntungan yang dapat diraih, ia datang seiring dengan cabaran-cabaran yang mungkin saja dalam bentuk dan skala yang belum pernah kita lihat sebelum ini.”

    Dalam hubungan itu, beliau menekankan bahawa selaku penjawat awam dan pemimpin yang bertanggungjawab, menjadi satu amanah yang perlu dipikul untuk sama-sama berganding bahu dalam mengatasi dan mengawal cabaran-cabaran yang telah atau akan timbul yang dibawa oleh arus globalisasi dengan pendekatan yang inovatif dan proaktif.

    “Pada masa yang sama, para penjawat awam hendaklah sentiasa mempersiapkan diri dengan meningkatkan keupayaan dan kebolehan secara berterusan untuk mengadaptasi segala kebaikan daripada proses globalisasi dan revolusi industri dengan jayanya dan bersandarkan pada satu niat, iaitu untuk menjaga kemaslahatan serta kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.

    Menyentuh mengenai program-program pembangunan berkenaan, Yang Berhormat Dato menyatakan harapan supaya para peserta program dapat menamatkan program berkenaan dengan penuh semangat, komitmen dan azam untuk menjadi pemimpin yang lebih berpengetahuan dan berkeupayaan untuk menghasilkan dasar-dasar serta inisiatif-inisiatif yang boleh membantu perkembangan bangsa, agama dan negara secara keseluruhannya.

    Beliau menyatakan harapan, hasil daripada program berkenaan akan dapat membuktikan peningkatan produktiviti kerajaan dan penerokaan peluang-peluang pembaharuan yang akan menghasilkan perkhidmatan kerajaan yang efisien, efektif dan berimpak tinggi sesuai dengan keperluan masyarakat pada masa kini dan akan datang.

    Oleh itu, kita seharusnya berfikir di luar kotak serta berfikiran ke hadapan dalam memikirkan kaedah baharu untuk menyampaikan pemberian perkhidmatan kepada orang ramai dan apa yang penting adalah segala pembaharuan yang akan dilaksanakan mestilah diterima dan dapat diguna pakai oleh orang ramai dengan mudah, cepat dan efektif dalam menepati maksud serta tujuan penyampaian perkhidmatan itu.

    Yang Berhormat Dato menambah, “Di samping itu, dalam usaha kita memajukan diri, menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman yang terkini di era globalisasi dan Revolusi 4.0, penekanan yang sama juga harus diberikan dalam memelihara keperibadian diri yang baik yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai luhur identiti kita sebagai bangsa Melayu Islam Beraja.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...