Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Peruncit Palestin kecewa perniagaan merundum

    GAZA/RAMALLAH – Semasa menjelang Aidilfitri baru-baru ini, hanya segelintir pelanggan kelihatan berada di kedai-kedai di Jalan Omar al-Mukhtar, Gaza, menunjukkan perbezaan yang ketara berbanding tahun sebelum ini, apabila pembeli bergegas ke pasar untuk mendapatkan makanan selepas 30 hari berpuasa pada bulan Ramadan yang mulia.

    Mohammed Dahalan, penjual pakaian yang berpangkalan di Gaza, berkata dia telah menjual hampir separuh daripada barangan yang diimport dari China dan Turki untuk perayaan akan datang yang menandakan berakhirnya Ramadan.

    “Pelanggan masuk ke kedai untuk melihat pakaian tetapi tidak membeli apa-apa. Mereka mahu kami menjual produk kami pada harga yang lebih rendah,” kata lelaki berusia 29 tahun itu, sambil tawar-menawar dengan seorang pelanggan untuk harga satu baju Raya.

    Dahalan telah mengandaikan kerugian yang dialami dalam beberapa bulan kebelakangan ini akan dibayar balik menjelang Aidilfitri apabila jualan sepatutnya lebih tinggi, hanya untuk mendapati bahawa dia kehilangan lebih banyak pendapatan hari ini.

    Dia berkata kelewatan dalam pengagihan faedah kebajikan sosial dan pembayaran gaji kepada pekerja Pihak Berkuasa Palestin adalah punca mengapa peniagaanya perlahan.

    Beberapa pelanggan mengunjungi kedai baju sempena perayaan Aidilfitri di utara Semenanjung Gaza. – Xinhua
    Kelihatan seorang peniaga menyusun barang jualannya. – Xinhua

    “Kami menghadapi situasi ekonomi yang sukar di Semenanjung Gaza… Tiada rancangan strategik untuk mengeluarkan rakyat tempatan daripada kemiskinan,” kata Mahmoud Saadallah, seorang pelanggan.

    Lelaki berusia 32 tahun itu berjalan-jalan di sekitar pasar untuk seketika tetapi tidak membeli apa-apa. “Terdapat kenaikan harga yang ketara. Saya tidak boleh membeli pakaian raya, apatah lagi manisan untuk Hari Raya,” katanya kepada Xinhua.

    Sejak Hamas menguasai Semenanjung Gaza pada 2007, Israel telah mengenakan kepungan ketat ke atas enklaf pantai Palestin, dengan empat operasi ketenteraan berskala besar dilancarkan terhadapnya.

    Sekatan selama bertahun-tahun telah menyebabkan kadar pengangguran di Gaza menjadi antara yang tertinggi di dunia, menurut laporan Bank Dunia.

    Di Tebing Barat, peruncit melihat senario yang serupa dengan yang berlaku di Gaza, juga kerana kebimbangan pelanggan tentang harga yang tinggi.Mohammed Bowaitel, seorang penjual di Ramallah, mengadu perniagaannya yang perlahan walaupun Hari Raya.

    “Perniagaan sangat teruk untuk kedua-dua peniaga dan peniaga jalanan, kerana ekonomi telah menjadi lebih teruk,” kata Bowaitel.

    “Lapan tahun lalu, ia mengambil masa kira-kira setengah jam untuk berjalan melalui jalan itu kerana ia begitu sesak, tetapi sekarang ia kosong,” katanya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...