Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Plastik ancam hidupan marin UAE

    KALBA, EMERIAH ARAB BERSATU – Penyu sisik diletakkan di atas meja bedah siasat, kulitnya pucat dan perutnya tegang.

    Seminggu yang lalu, seekor penyu terdampar di sebuah pantai di Kalba, bandar di pantai timur Emiriah Arab Bersatu (UAE).

    Dahulunya tidak tercemar, sekarang pantai yang dipenuhi pokok bakau tersebut dicemari oleh timbunan sampah yang diseret dari tapak pelupusan yang berhampiran.

    Sampah yang bertimbun-timbun di seberang pantai adalah beg plastik, bungkusan, penutup botol dan terlalu kerap dilihat adalah penyu yang mati.

    Pada mula, Fadi Yaghmour, seorang pakar marin yang telah memeriksa kira-kira 200 penyu untuk penyelidikan pertama mengenai subjek dari Timur Tengah, mengekstrak makanan biasa dari bangkai seperti sotong dan tiram.

    Penyu sisik, yang ditemui di pantai berdekatan, dipamerkan selepas bedah siasat bersama-sama dengan sampah kebanyakannya bahan plastik, penutup botol dan bahan makanan dikeluarkan dari perutnya. – AP
    Penyu laut mati dikumpulkan dari pantai di Rizab Pemuliharaan Khor Kalba, di bandar Kalba, pantai timur UAE. – AP
    Pekerja mengukur bangkai penyu sisik, yang ditemui di pantai berhampiran, sebelum melakukan bedah siasat. – AP

    Kemudian, punca kematian haiwan berkenaan menjadi sangat jelas apabila benda seperti belon dan cebisan plastik adalah beberapa benda terakhir yang dimakan oleh penyu.

    “Ia mungkin kekurangan zat makanan,” kata Yaghmour kepada The Associated Press minggu lalu semasa menjalankan kerja-kerjanya. Plastik menyumbat saluran usus penyu, katanya dan boleh menyebabkan ia kelaparan.

    Penyu tersebut adalah salah seekor daripada 64 penyu yang telah diambil dari pantai Kalba dan Khor Fakkan, di emiriah Sharjah yang lebih luas, untuk dianalisis di makmal Yaghmour.

    Pasukan penyelidiknya telah menerbitkan satu kajian baharu dalam Buletin Pencemaran Marin yang bertujuan untuk mendokumentasikan kerosakan dan bahaya plastik buang yang telah digunakan secara meluas di seluruh dunia dan di UAE, bersama-sama dengan serpihan marin yang lain.

    Apabila dibuang, plastik menyumbat saluran air dan mencekik haiwan bukan sahaja penyu laut tetapi ikan paus, burung dan semua jenis hidupan.

    Sebanyak 75 peratus daripada semua penyu hijau yang mati dan 57 peratus daripada semua penyu tempayan di Sharjah telah memakan serpihan laut, termasuk beg plastik, penutup botol, tali dan jaring ikan, menurut kajian.

    Satu-satunya penyelidikan lain dari rantau ini, yang diterbitkan pada tahun 1985, mendapati bahawa tiada penyu yang dikaji di Teluk Oman telah memakan plastik.

    “Apabila majoriti penyu laut mempunyai plastik dalam badannya, awda tahu akan ada masalah yang ketara,” kata Yaghmour.

    “Jika ada masa untuk mengambil berat tentang penyu, sekarang adalah masanya.”

    Penyu mungkin terselamat daripada kepupusan besar-besaran yang membunuh dinosaur berjuta-juta tahun yang lalu, tetapi hari ini ia hampir pupus di seluruh dunia.

    Penyu sisik sangat terancam, menurut Kesatuan Pemuliharaan Dunia dan spesies hijau dan tempayan terancam. Tiga spesies itu ditemui di perairan cetek Teluk Parsi serta Teluk Oman di seberang Selat Hormuz.

    Jumlah sampah yang semakin meningkat mencemarkan alam sekitar dunia, dengan kajian rintis dalam Science Advances lima tahun lalu menganggarkan bahawa 12 bilion tan metrik akan menimbun menjelang 2050.

    Itu hanyalah salah satu daripada ancaman berlipat ganda yang dicipta manusia untuk penyu termasuk peningkatan suhu laut yang melunturkan terumbu karang, pembangunan berlebihan pantai dan penangkapan ikan yang berlebihan. Tetapi mungkin yang paling ketara ialah senario ngeri yang ditunjukkan di makmal Kalba.

    Sejumlah besar serpihan ditemui di dalam penyu yang mati di Sharjah. Sebanyak 325 serpihan dalam seekor penyu dan 32 jaring di dalam yang lain. Ia boleh menyebabkan penyumbatan maut, luka dan gas terkumpul dalam saluran penghadaman.

    Kajian itu juga mendapati penyu laut hijau paling gemar memakan beg plastik dan tali yang hanyut, menyerupai diet pemakanannya seperti sotong dan obor-obor.

    Penyu tempayan makan penutup botol dan kepingan kecil plastik keras lain yang disalah anggap sebagai siput yang sedap dan invertebrata laut yang lain. Penyu laut termuda, tidak begitu dapat membezakan, memakan paling banyak plastik.

    Badan pemuliharaan di UAE, termasuk pasukan Yaghmour dan lain-lain di Pihak Berkuasa Alam Sekitar dan Kawasan Terlindung Sharjah, sedang berusaha untuk melindungi penyu di negara itu daripada ancaman.

    Pegawai komuniti akan bertindak balas terhadap laporan berterusan penyu yang mengalami kesukaran, menyelamatkan reptilia yang sakit untuk pemulihan.

    “Jika kita kehilangan penyu ini, ekosistem akan mati,” kata Abdulkarim Vettan, pengurus operasi Pusat Bakau Al-Qurum sambil menunjuk seekor penyu yang siripnya dipotong oleh doktor haiwan kerana terperangkap dalam jaring.

    Pendukung alam sekitar menghadapi tugas yang berat dalam negara kaya minyak yang merupakan salah satu pengeluar karbon dioksida dan pengeluar sampah per kapita tertinggi di dunia.

    Sepanjang dekad yang lalu, penggunaan plastik dan sisa melonjak apabila UAE berubah dengan cepat dari bandar padang pasir yang kering menjadi hab perniagaan moden yang terkenal di seluruh dunia dengan budaya kepenggunaan. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...