Sunday, April 28, 2024
29.5 C
Brunei

    -

    Polis fail pertuduhan keganasan ke atas Imran Khan

    ISLAMABAD, 22 OGOS – Polis Pakistan hari ini memfailkan tuduhan berkaitan keganasan terhadap bekas perdana menteri, Imran Khan, menurut pihak berkuasa.

    Ia secara langsung meningkatkan ketegangan politik di negara berkenaan selepas perdana menteri yang digulingkan itu mengadakan perhimpunan besar-besaran untuk kembali ke tampuk kuasa.

    Tuduhan keganasan itu muncul susulan ucapan Khan di Islamabad Sabtu lalu, yang berikrar untuk menyaman pegawai polis dan hakim wanita selepas mendakwa seorang pembantu rapatnya, Shahbaz Gil diseksa ketika ditahan.

    Khan walau bagaimanapun dilihat masih bebas dan belum bertindak untuk mengetepikan kertas pertuduhan polis yang dibuat terhadapnya.

    Penyokongnya turut berkumpul di sekeliling rumahnya, dijangka menyukarkan pihak polis untuk menahannya.

    Para penyokong berhimpun ke sekitar kawasan menuju ke kediaman bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan di Islamabad, 22 Ogos. – AP

    Imran juga memberi amaran negara itu bakal berdepan krisis serupa Sri Lanka jika tindakan keras dikenakan terhadap partinya Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI).

    “Jika awda mahu menghancurkan PTI, keadaan akan menjadi seperti di Sri Lanka,” kata Imran dalam ucapannya di taman bersejarah Liaqat Bagh di Rawalpindi.

    Beliau berkata jika parti popular negara itu tidak dibenarkan berpolitik, rakyat akan turun memprotes di jalan raya. Ratusan penyokongnya kekal di sana sejak awal pagi tadi. PTI turut memberi amaran akan mengadakan perhimpunan di seluruh negara jika Khan ditangkap.

    Di bawah sistem perundangan Pakistan, polis memfailkan apa yang dikenali sebagai laporan siasatan awal mengenai pertuduhan terhadap individu yang dituduh kepada hakim majistret, yang membenarkan siasatan diteruskan.

    Pihak Berkuasa Kawalselia Media Elektronik Pakistan (PEMRA) pada Sabtu melarang ucapan bekas perdana menteri itu disiarkan secara langsung di saluran televisyen satelit.

    Pengguna media sosial turut mengadu tentang gangguan di platform YouTube semasa ucapan Imran.

    “Tinjauan metrik menyokong laporan tentang gangguan di platform YouTube di Pakistan pada pelbagai penyedia internet,” kumpulan pemantau Internet NetBlocks mengesahkan hal berkenaan dalam ciapan di Twitter.

    Imran menerusi komen di media sosial mengecam tindakan keras itu.

    “Ini bukan sahaja pencabulan terhadap kebebasan bersuara tetapi juga memberi kesan negatif kepada industri media digital dan mata pencarian ramai. Apa yang perlu mereka fahami adalah walau apa pun yang mereka lakukan, mereka tidak boleh menghalang hak rakyat iaitu Haqeeqi Azadi (kebebasan sebenar),” katanya. – Bernama/AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    4 maut diserang gajah liar di India

    NEW DELHI, 28 APRIL - Sekurang-kurangnya empat orang termasuk pegawai perhutanan maut diserang seekor gajah liar di negeri Assam, timur laut india, lapor Xinhua...