SEOUL, 24 MEI – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol telah mengucapkan tahniah kepada Son Heung-min atas pencapaiannya memenangi Kasut Emas Liga Perdana dan menyifatkannya sebagai pencapaian yang menggembirakan untuk diraikan oleh seluruh komuniti bola sepak Asia.
Son, Ahad lalu menjadi pemain bola sepak Asia pertama yang menjadi penjaring terbanyak liga utama Inggeris dengan 23 gol dan presiden Yoon juga tidak sabar untuk menyaksikan Son memimpin Korea Selatan pada Piala Dunia di Qatar nanti.
Perlawanan akhir Tottenham musim ini menentang Norwich pada Ahad lalu disiarkan secara langsung di Korea Selatan, bermula pada tengah malam dan berakhir pada 2 pagi kelmarin.
Para peminat berkata gol liga ke-22 dan ke-23 Son musim ini semasa kemenangan 5-0 Tottenham itu menjadikan mereka merasa berbaloi untuk berjaga hingga lewat malam.
Tottenham juga mempunyai pangkalan peminat yang besar di Korea Selatan dan kelab itu akan bermain dua perlawanan di negara tersebut dalam jelajah pramusim Asia pada bulan Julai nanti. – AFP
