Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Pupuk kesedaran kanser kanak-kanak

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Program Spreading Support and Awareness of Childhood Cancer telah dilancarkan pada majlis yang berlangsung di Atrium, Hua Ho Manggis, hari ini, yang dihasratkan untuk menyediakan kempen derma yang lestari dan menggalakkan kesedaran kanser kanak-kanak dalam kalangan masyarakat.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.

    Konsep program berkenaan dibangunkan oleh enam pegawai kanan kerajaan yang menyertai Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-29.

    Menurut kenyataan yang diberikan, program berkenaan juga bertujuan untuk memberikan sokongan terhadap kanak-kanak dan remaja yang menghidap kanser, bekas pesakit kanser kanak-kanak serta keluarga mereka dan pada masa yang sama untuk melindungi alam sekitar.

    Konsep melibatkan lakaran lukisan yang dibuat oleh kanak-kanak bekas pesakit kanser dan mendapatkan sokongan daripada syarikat-syarikat perniagaan dalam membantu menjual serta mempromosikan lukisan dan mesej yang terdapat dalam lukisan berkenaan.

    Hajah Nor Ashikin bergambar bersama tetamu yang hadir pada majlis yang berlangsung di Atrium, Hua Ho Manggis, kelmarin.
    Lukisan yang dihasilkan oleh bekas pesakit kanser kanak-kanak yang bertujuan untuk memberikan kesedaran mengenai kanser di kalangan kanak-kanak dalam masyarakat.- Gambar oleh Yusrin Junaidi

    Program berkenaan juga adalah untuk memperingati Hari Kanser Kanak- kanak Antarabangsa (ICCD) yang jatuh pada setiap 15 Februari.

    Melalui program ini, Gedung Perniagaan Hua Ho telah mengambil tanggungjawab dan menawarkan diri untuk mengambil bahagian serta memberi sokongan melalui penjualan beg kitar semula.

    Beg kitar semula berkenaan akan menampilkan kompilasi karya seni atau lukisan unik yang dihasilkan oleh kanak-kanak sebagai tindakan solidariti dalam meningkatkan kesedaran tentang kanser kanak-kanak.

    Beg guna semula berkenaan adalah eksklusif dan akan mula dijual kepada orang ramai bermula April depan di mana semua hasil akan disumbangkan kepada Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) Brunei.

    Dengan sokongan dan bantuan sedemikian, perjuangan menentang kanser, terutamanya kanser kanak-kanak, yang diketuai oleh YASKA Brunei akan dapat mencapai tahap yang lebih tinggi serta memberikan penjagaan dan sokongan yang berkekalan bagi kanak-kanak yang memerlukannya.

    Majlis pelancaran turut menyaksikan penyerahan reka bentuk beg boleh diguna semula kepada enam orang kanak-kanak yang terlibat dalam menyumbangkan lukisan.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden YASKA, Haji Suffian bin Haji Zainal Abidin, pegawai-pegawai kanan kerajaan yang mengikuti EDPSGO ke-29 dan pegawai-pegawai dari Universiti Teknologi Brunei dan YASKA Brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...