Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Purata kes COVID-19 turun bawah 300

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, jumlah kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan pengurangan di mana kadar purata kes harian pada minggu ini ialah sebanyak 283 kes sehari, berbanding 420 kes sehari pada minggu lepas.

    Sebanyak 59,328 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa seminggu ini di mana 3.3 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.

    “Ini bermakna jumlah purata kes harian telah menurun sebanyak 83.6 peratus daripada masa kemuncak gelombang keempat wabak ini pada pertengahan Julai lalu,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam sidang media COVID-19 Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa pada hari ini, terdapat satu kes dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala tiga kes berada di dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    Menurut beliau lagi, kadar liputan vaksinasi COVID di negara ini kekal berada di tahap yang tinggi sehingga kelmarin (21 Ogos) dengan 76.6 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 9 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.

    “Pada hari ini, sebanyak 247 kes baharu telah dilaporkan iaitu 238 kes hasil ujian ART dan sembilan kes adalah hasil daripada 284 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu,” tambahnya.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham berdoa semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada segala bencana dan wabak penyakit serta berada dalam perlindungan Allah SWT.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...