Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Resah tunggu ‘wajah’ sebenar Taliban

    KABUL, AFGHANISTAN – Perasaan gementar menyelubungi Dr Fawzia Iman ketika doktor sakit puan berusia 32 tahun itu menunggu penerbangan keluar dari Kabul ke Iran untuk bertemu suaminya, seorang warga Afghanistan-Australia, buat pertama kali.

    Sebelum ini tiada ruangnya baginya untuk memikirkan tentang keadaan luar biasa yang membawa kepada perkahwinannya – berlangsung secara dalam talian – kerana fikirannya dipenuhi kebimbangan sama ada dia akan dibenarkan keluar dari Afghanistan tanpa ditemani muhrim lelaki – sesuatu yang tidak dibenarkan oleh kepimpinan Taliban untuk wanita Afghanistan.

    Isu itu sudah pun selesai dan dia kini resah memikirkan pertemuannya dengan suami yang dinikahi dua hari selepas Taliban mengambil alih kerajaan pada Ogos tahun lepas.

    “Ada kalanya ketika tidur pada waktu malam, terlintas di fikiran yang saya membuat keputusan secara terburu-buru, terdesak – mungkin keputusan ini tidak OK, tidak betul (untuk saya mengahwininya tanpa bertemu terlebih dahulu),” katanya kepada Bernama.

    Dr Fawzia menerima lamaran suaminya yang sebelum itu ditolak, selepas Taliban menerajui kerajaan.

    Dr Fawzia Iman semasa ditemui Bernama. – Bernama
    Prof Mahmouda Taqwa, seorang profesor di Universiti Kabul. – Bernama
    Samira Noori. – Bernama

    Namun sebimbang mana pun dia berkenaan perkahwinannya dengan orang tidak dikenali, Dr Fawzia lebih bimbang tentang Taliban. Semasa Taliban menumbangkan kerajaan pimpinan Ashraf Ghani selepas tentera Amerika Syarikat (AS) berundur dari Afghanistan pada Ogos tahun lalu, wanita itu diselubungi rasa takut yang amat hebat.

    Ini kerana dia kembali mengingati zaman kanak-kanaknya, tentang betapa takutnya dia semasa melihat tentera Taliban di Kabul membelasah wanita di tepi jalan hanya kerana memakai pewarna kuku kaki. Dr Fawzia takut dengan kembalinya pemerintahan Taliban bermakna kekejaman itu juga kembali, termasuk membunuh orang awam, memusnahkan monumen kebudayaan selain melarang wanita dan remaja perempuan mendapatkan pendidikan atau bekerja dalam kebanyakan bidang.

    Bukan dia seorang sahaja yang berperasaan sedemikian. Walaupun sudah lebih enam bulan bekas kumpulan militan itu menyingkirkan kerajaan Ashraf Ghani, ramai wanita yang ditemui Bernama di sini menyatakan rasa takut, tertekan dan ketidakpastian mereka tentang masa depan.

    Kali pertama Taliban memerintah Aghanistan adalah dari 1996 hingga 2001 semasa AS dan sekutunya mence-roboh negara itu selepas ia enggan menyerahkan bekas ketua Al Qaeda, Osama bin Laden kepada kuasa dunia tersebut.

    Walaupun sebahagian daripada wanita itu masih terlalu kecil ketika kali pertama kumpulan itu memerintah Afghanistan, mereka tahu apa yang dilakukan Taliban sepanjang AS menduduki negara mereka – melancarkan serangan demi serangan ke atas AS sehinggalah ia berundur Ogos tahun lepas.

    Taliban 2.0

    Apabila Taliban mengambil alih kerajaan, AS melaksanakan sekatan dan kebanyakan dana antarabangsa yang dijanjikan untuk membangunkan Afghanistan juga dihentikan. Kebanyakan sekatan itu adalah untuk subset kumpulan tersebut – Haqqani Network – yang dipersalahkan atas serangan paling teruk ke atas tentera AS di Afghanistan.

    Bagi meredakan rasa takut serta meraih penerimaan masyarakat antarabangsa, Taliban berjanji untuk lebih bersederhana dalam pemerintahannya kali ini, termasuk menghormati hak wanita, memastikan keselamatan dalam negara dan menawarkan pengampunan kepada mereka yang sebelum ini menentang mereka.

    “Islam memperuntukkan hak bagi setiap orang, sama ada lelaki atau wanita mahupun kanak-kanak – kesemua hak itu dijelaskan sebaiknya dalam Islam, dan kerajaan Afghanistan akan memastikan kesemua hak rakyat dihormati,” kata Abdul Qahar Balkhi, jurucakap Kementerian Luar Afghanistan, tanpa memperincikan hak-hak yang dimaksudkannya.

    Baru-baru ini universiti di Afghanistan dibuka semula untuk pelajar lelaki dan wanita, namun kelas mereka diasingkan. Pensyarah lelaki dibenarkan mengajar penuntut wanita namun pensyarah wanita tidak boleh mengajar siswa lelaki.

    Di Kabul, sekatan tidak begitu ketara dengan kehidupan di bawah Taliban nampak berjalan seperti biasa. Beberapa peniaga yang bertuah dan tidak terkesan oleh krisis ekonomi, bebas menjalankan perniagaan mereka. Di luar pejabat Gabenor Kabul pula rakyat beratur panjang untuk memohon bantuan dengan yang buta huruf dibantu mengisi borang. Pemandu teksi pula saling menjerit berebut pelanggan. Kesesakan trafik juga teruk dengan kenderaan hampir tidak dapat bergerak ketika menghampiri persimpangan, atau lebih tepat lagi pusat pemeriksaan yang dijaga oleh pengawal Taliban yang berpakaian seragam tentera AS.

    Tidak ramai wanita yang kelihatan di jalanan, kebanyakannya yang keluar adalah pengemis dengan sesetengahnya turut ditemani anak kecil. Wanita tua mengetuk cermin tingkap kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan sambil meminta wang, sementara gadis remaja cuba menjaja pen atau tasbih yang dibawa. Sekali sekala, kelihatan wanita muda yang berpakaian kemas dengan berselendang dan berbaju labuh berserta “legging” atau sarung betis, bagi memenuhi syarat menutup aurat, keluar di bandar raya ini.

    Namun kebebasan sedemikian, sesuatu yang dibenci oleh kerajaan Taliban terdahulu, mungkin disifatkan agak keterlaluan bagi kerajaan kali ini. Ada tanda-tanda janji kepimpinan atasan itu tidak sampai ke peringkat bawah. Tindakan balas dendam diambil terhadap mereka yang bekerja dengan kerajaan terdahulu.

    Selain itu, lebih banyak sekatan dikenakan terhadap wanita. Baru-baru ini Taliban mengumumkan wanita tidak dibenarkan mengembara ke luar negara untuk belajar tanpa ditemani oleh muhrim lelaki. Di Universiti Kabul, notis ditampal hampir di merata tempat, mengingatkan wanita agar menutup aurat dengan berjubah hitam dan berniqab – menutupi keseluruhan tubuh wanita itu dengan hanya bahagian mata sahaja yang terdedah.

    Sekalipun sekatan ini mungkin tidak luar biasa – sama seperti di Arab Saudi – ada sekatan tersirat seperti yang dihadapi oleh wartawan penyiaran NoorTV, Hadia Ziaei.

    “Apabila kami ke sidang media, mereka tidak benarkan wartawan wanita bercakap dengan menteri. Memang sukar buat saya kerana sebagai wartawan menjadi tugas saya untuk bercakap dengan menteri, namun mereka enggan menerima (penjelasan saya). Mereka cuma kata jurukamera anda (boleh) masuk dan bertanyakan soalan kepada kami, namun kami tidak akan benarkan anda masuk dan bercakap dengan kami,” katanya kepada Bernama.

    Jelasnya, pada masa ini hanya ada tiga wanita bertugas di stesen TV itu yang berpangkalan di sini, iaitu dia dan dua lagi yang masing-masing bertugas sebagai penyampai dan juga pengurus media sosial. Empat lagi telah melarikan diri sebaik Taliban mengambil alih kerajaan.

    Aktivis pendidikan untuk gadis remaja, Samira Noori tidak terkejut dengan sekatan tidak rasmi terbabit. Dia melihat hal itu sebagai modus operandi Taliban sekarang, iaitu daripada melarang wanita menyertai kehidupan secara terbuka, mereka sebaliknya mewujudkan halangan-halangan “ghaib” yang menyukarkan kehidupan dan dunia pekerjaan wanita.

    “Ramai wanita berputus asa dan akhirnya berhenti. Kemudian mereka (Taliban) akan kata, tengok kami benarkan mereka datang bekerja tapi mereka yang berhenti,” katanya.

    Tambahnya, ini menunjukkan Taliban semakin bijak “(belajar tentang) apa yang dikehendaki oleh masyarakat antarabangsa dan bagaimana hendak meraih kepercayaan mereka. Selepas (diiktiraf), mereka akan tunjukkan wajah sebenar mereka.”

    ‘Wajah’ sebenar

    Kenyataan itu adalah tema biasa dalam kalangan wanita di Kabul yang merupakan sebuah kosmopolitan dan agak liberal di negara yang tradisional dan konservatif ini. Semua orang dengar janji Taliban 2.0 ketika mereka mengambil alih kerajaan, dan sekalipun ada yang bersedia untuk mempercayai janji itu, semuanya menunggu saat realiti sebenar ditunjukkan.

    “Selepas pejabat kami dibuka semula, semasa kami berbincang dengan seorang daripada mereka, saya rasa mungkin mereka sudah berubah. Namun kita tidak tahu hakikat sebenar mereka ini. Jika mereka telah berubah, benar-benar berubah, maka kami terima mereka. (Namun) boleh dikatakan kami tidak tahu ‘wajah’ sebenar (Taliban),” kata Hadia.

    Di satu pihak, ada pengikut Taliban yang berdiam diri sahaja apabila wanita muda berbaju separa labuh, berkasut tumit tinggi dan memakai mekap berjalan di hadapan mereka. Pada masa sama, ada Taliban yang mengugut untuk membunuh pensyarah sastera di Universiti Kabul, Mahmouda Taqwa jika dia melibat wanita itu tidak berhijab atau berburka.

    Dia memberitahu Bernama, pengikut Taliban yang mengugutnya adalah sepupu ipar, justeru dia tidak boleh mengelakkan diri sepenuhnya daripada lelaki tersebut.

    “Dia sentiasa membawa senapang. Saya takut dia akan tembak saya. Sebab itu saya tidak suka berjumpa dia, namun dia kerap ke rumah saya,” katanya, menambah dia akan melarikan diri ke rumah kakaknya setiap kali lelaki itu datang bertandang.

    Masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia telah menetapkan pelaksanaan hak asasi manusia dan hak wanita sebagai syarat untuk pengiktirafan Taliban. Namun, dalam konteks hubungan dengan Afghanistan, dasar luar kebanyakan negara digubal bersandarkan harapan mereka terhadap negara tersebut, bukan disokong oleh bukti kukuh.

    Ramai yang melihat Taliban kali ini tidak begitu keras seperti dahulu, dan berharap mereka akan lebih bersederhana seiring peredaran masa. Ahli geostrategi Azmi Hassan berkata Malaysia tidak harus meminggirkan Afghanistan tetapi bekerja membantu mereka menambah baik dan menyediakan hak asasi manusia dan hak wanita.

    “Saya rasa rakyat Afghanistan mahu lebih banyak kebebasan dan ini termasuk hak wanita. Saya berpandangan kita tidak harus biarkan mereka bersendirian memperjuangkan kebebasan mereka. Jadi, kita boleh bantu mereka dengan menangguhkan pengiktirafan, (dengan memberi) tekanan kepada kerajaan Afghanistan,” kata Azmi yang juga Felow Kanan di Akademi Nusantara.

    Namun rata-rata wanita di negara itu tidak mahu mengambil risiko dengan menunggu lebih lama, bimbang Taliban mungkin kembali memperkenalkan lebih banyak sekatan. Beberapa wanita memberitahu Bernama mereka bersedia untuk meninggalkan Afghanistan buat selama-lamanya.

    Mengakui Taliban sekarang tidak sekejam Taliban dahulu, Dr Fawzia berkata dia harus meninggalkan negara itu demi keselamatannya dan masa depan bakal anak-anaknya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...