Sunday, May 19, 2024
28.2 C
Brunei

    -

    Rins ungguli MotoGP Australia, Quartararo jatuh lagi

    PHILLIP ISLAND, AUSTRALIA, 16 OKT – Penunggang Sepanyol, Alex Rins menang perlumbaan di MotoGP Australia hari ini dengan pendahulu kejuaraan dunia, Fabio Quartararo terbabas seterusnya menjejaskan harapannya meraih gelaran.

    Penunggang Suzuki itu memulakan aksi di petak ke-10 dan menamatkan saingan 0.186 saat di hadapan pelumba Sepanyol, Marc Marquez, yang berjaya naik ke podium buat kali ke-100.

    Francesco Bagnaia mendapat tempat ketiga seterusnya mendahului carta pungutan mata.

    Penunggang Ducati, Bagnaia yang memulakan perlumbaan hanya dua mata di belakang juara bertahan dunia, Quartararo kini akan ke grand prix Malaysia dengan kelebihan 14 mata dan peluang memenangi gelaran juara dunia.

    “Saya berasa sangat gembira dapat menang di tempat pertama,” kata Rins selepas kemenangan keempat dalam kariernya di MotoGP.

    Marc Marquez (kiri) dari Sepanyol, Alex Rins (tengah) dari Sepanyol, dan Francesco Bagnaia dari Itali, meraikan kemenangan selepas tamat perlumbaan MotoGP di Phillip Island, Australia, hari ini. – AP

    Quartararo bersama jentera Yamaha memulakan saingan di petak kelima tetapi membuat kesilapan besar pada selekoh kelima di pusingan keempat dan jatuh ke kedudukan ke-22.

    Dia mula mencipta masa sepusingan terpantas dalam usaha kembali mendapatkan mata tetapi membuat kesilapan pada pusingan ke-10 daripada keseluruhan 27 pusingan apabila hilang kawalan di selekoh dan terbabas.

    Penunggang Perancis itu kini gagal memungut mata dalam tiga grand prix terakhir yang menyebabkan dia semakin sukar mengejar kejuaraan.

    “Kejuaraan ini berubah untuk dia (Bagnaia) dan ia boleh berubah juga untuk kami dalam dua perlumbaan terakhir nanti,” tegas Quartararo. “Saya rasa kami boleh menang dalam dua perlumbaan terakhir nanti.”

    Bagnaia, yang sebelum ini berada 91 mata di belakang Quartararo selepas perlumbaan ke-10 musim ini di Jerman, berkata dia merancang untuk melakukan perkara yang sama di Malaysia seperti mana yang dia lakukan dalam setiap perlumbaan.

    “Ini sangat penting tapi saya akan cuba lakukan benda yang sama… Sesi demi sesi. Kita harus bijak,” katanya.

    Sementara itu, penunggang dari Australia, Jack Miller memulakan saingan 40 mata di belakang Quartararo, masih ada peluang tipis untuk menang, naik ke kedudukan keempat seepas menamatkan saingan lebih awal. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...