Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Riyadh bermandikan cahaya berwarna-warni

    RIYADH – Pemasangan cahaya lampu yang mempesonakan telah menerangi ibu kota Arab Saudi, yang berusaha untuk menjadikan negara itu sebagai destinasi seni global terutama kepada golongan sederhana di negara itu, bukan sahaja untuk pengunjung yang biasa melawat muzium.

    Bola merah besar bercahaya di luar perpustakaan negara, pertunjukkan cahaya menghiasi tepi sungai di tempat perkelahan yang popular, dan reka bentuk Arabesque yang dipancarkan ke dinding kubu bata lumpur berusia 130 tahun, ini semua adalah sebahagian daripada Noor Riyadh, sebuah perayaan yang diadakan di seluruh bandar.

    Kurator Arab Saudi, Jumana Ghouth berkata dia mendapati ia luar biasa melihat penduduk tempatan dari latar belakang sosioekonomi yang berbeza ‘berinteraksi dengan seni’, memandangkan negara itu sebenarnya bukan negara yang terkenal dengan pencinta seni.

    Arab Saudi telah mencetuskan perbualan dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana menarik nama-nama besar dalam dunia seni kontemporari menyertai pertunjukkan seperti Desert X, yang diadakan di tengah-tengah pergunungan batu pasir Al-Ula di utara yang tidak ramai penduduk.

    Noor Riyadh, sebaliknya, membawa seni pemasangan cahaya lampu ke lebih 40 buah lokasi di bandar yang berkembang pesat dengan lebih tujuh juta orang penduduk, yang kebanyakannya mungkin tidak pernah terfikir untuk mengunjungi galeri.

    Orang awam tidak melepaskan peluang menghadiri festival cahaya lampu Noor Riyadh yang diadakan di Taman Al-Salam di ibu negara Saudi, Riyadh. – AFP
    Acara persembahan di Noor Riyadh termasuk pertunjukan cahaya di taman yang melibatkan 2,000 dron. – AFP
    Antara seni pemasangan cahaya lampu yang terdapat pada festival pencahayaan Noor Riyadh. – AFP

    Cahaya lampu berwarna-warni menghiasi kawasan pejalan kaki. – AFP
    Noor Riyadh membawa seni pemasangan cahaya lampu di lebih 40 buah lokasi di bandar yang berkembang pesat. – AFP

    “Khususnya mereka yang tidak mampu untuk membuat pengembaraan, kami mendekat- kan seni kepada mereka,” kata Ghouth.

    “Ia diadakan di kawasan awam yang tidak terlalu padat menjadikan ‘seni yang dipertunjukkan itu lebih menyerlah,” kata Gaida Almogren, seorang lagi kurator yang terlibat dalam festival yang dibuka minggu lalu.

    “Saya fikir itulah peranan seni, iaitu menarik orang ramai dan mencuri tumpuan, kita akan dapat melihat apa reaksi orang ramai.”

    Acara pelancaran Noor Riyadh termasuk pertunjukan cahaya di taman yang melibatkan 2,000 buah dron dan sambutan hangat di padang pasir di luar bandar, dengan DJ dipasang di bawah piramid terbalik yang besar dan bercahaya.

    Menurut salah seorang pengunjung, Adel Shuker, yang pergi ke festival itu baru-baru ini, berkata bahawa dia berjalan-jalan bersama isteri dan kakak iparnya melintasi sebuah pertunjukkan seni yang dihasilkan oleh artis Puerto Rico Gisela Colon di Noor Riyadh, dan dia mengagumi bagaimana cahaya memancar dari tasik buatan manusia berhampiran.

    “Bagaimana mereka meletakkan cahaya di sana, bagaimana mereka memancarkan cahaya, ia sama seperti seni, sungguh,” kata Shuker.

    Ia merupakan pengalaman baharu bagi pesara penganalisis tentera laut berusia 52 tahun itu, yang menyifatkan dirinya tidak biasa dengan muzium dan galeri seni Riyadh.

    “Saya ingin berterus terang bahawa saya tidak pergi ke sana,” katanya.

    “Kami tidak mempunyai masa. Riyadh sekarang sangat sesak, awda tidak boleh bergerak dengan mudah. ​​Ia waktu sibuk di mana-mana, pada bila-bila masa. Jadi kami perlu mencari masa untuk meluangkan masa untuk diri sendiri dan bersama keluarga.”

    Lebih 130 orang artis dari 40 buah negara menyertai Noor Riyadh, yang berlangsung sehingga 19 November.

    Seni pemasangan cahaya lampu di Noor Riyadh mengetengahkan mengenai perubahan iklim.

    Kurator bersama festival itu, Herve Mikaeloff, yang bekerja dengan artis antarabangsa, berkata bahawa sesetengah daripada artis mungkin bimbang untuk datang ke Arab Saudi tetapi berkata tidak ada yang menerima tekanan daripada pihak berkuasa tempatan mengenai kandungan seni yang ingin dipamerkan.

    “Pastinya, jika awda menerima kerja di sini, awda perlu menerima peraturan dan perlu menerima situasi perundangan dan politiknya,” kata Mikaeloff kepada AFP.

    “Saya fikir kebanyakan artis yang bercakap dengan saya mahu menekankan bahawa festival seperti ini (adalah) juga isyarat politik, untuk membuka negara kepada dunia,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...