Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Sabah cadang pinda Enakmen Hutan

    KOTA KINABALU, 25 OGOS – Kerajaan Sabah bercadang meminda Enakmen Hutan 1968 bagi memastikan kerangka perundangan perhutanan negeri dapat bergerak seiring dengan pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 diluluskan Dewan Rakyat pada Julai lepas.

    Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata cadangan pindaan itu juga merangkumi aspek lebih mencabar dalam dunia perhutanan dewasa ini, termasuklah untuk memenuhi agenda antarabangsa bagi mengatasi isu perubahan iklim, mitigasi melalui perdagangan karbon dan pemuliharaan bio-diversiti.

    Katanya, langkah itu juga bakal memperkemas ruang kerjasama antara pelesen Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan dengan kerajaan negeri selaras dengan visi pengurusan hutan mampan.

    “Pindaan terhadap APN 1984 bertujuan meningkatkan perlindungan hutan kekal di Malaysia, dan telah menggariskan syarat-syarat yang ketat untuk pewartaan keluar sebarang kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung Malaysia.

    “Saya percaya mereka telah mencontohi kita, kerana ia lebih awal diamalkan di Sabah. Saya juga difahamkan bahawa melalui pindaan APN, kadar denda, hukuman dan penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar juga telah dinaikkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Hajiji berkata beliau menyarankan agar Jabatan Perhutanan Sabah dan juga jabatan-jabatan berkaitan untuk terus mengkaji semula peruntukan yang ada dalam Enakmen Hutan 1968, dan mengasimilasikan pindaan telah dibuat mengikut kepentingan kerajaan negeri.

    Beliau berkata pengurusan kawasan hutan simpan perlu terus dimantapkan dalam menyokong dasar kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurang 50 peratus keluasan tanah negeri dilitupi kawasan berhutan, serta mencapai 30 peratus Kawasan Terlindung Sepenuhnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...