Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Sambut baik rundingan VTL

    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyambut baik perundingan mengenai pengiktirafan bersama sijil vaksinasi COVID-19 dan penubuhan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) bagi melancarkan semula pergerakan rentas sempadan dan seterusnya dapat memulihkan ekonomi Brunei dan Malaysia.

    Semasa mengurniakan titah pada Majlis Persantapan Rasmi sempena menerima rombongan perdana menteri Malaysia di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman, hari ini, Baginda juga melahirkan kegembiraan atas kerjasama Negara Brunei Darussalam dan Malaysia dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.

    Selain itu, Baginda juga berharap agar kerjasama BIMP-EAGA dapat diperluaskan lagi melalui Sabah dan Sarawak bagi mempertingkatkan kesalinghubungan perdagangan antara kedua-dua buah negara, sekali gus memberi keyakinan kepada pihak swasta untuk bergerak maju ke hadapan dalam fasa pemulihan COVID-19.

    Menyentuh mengenai Perundingan Tahunan Ketua-ketua kerajaan di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia yang telah diadakan sejak tahun 1997, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan perundingan itu memberikan banyak peluang untuk bermusyawarah mengenai perkara-perkara berkepentingan bersama.

    Meskipun berhadapan dengan cabaran COVID-19, Baginda berbesar hati dengan perkembangan sangat baik yang terus ditunjukkan melalui kerjasama termasuk dalam bidang perdagangan, pertahanan, pendidikan serta kesihatan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Persantapan Rasmi mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Yang Amat Berbahagia Datin Sri Muhaini Zainal Abidin di Istana Nurul Iman. Berkenan berangkat sama ialah KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, berserta KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap YAB Dato’ Sri Ismail Sabri dan Yang Amat Berbahagia Datin Sri Muhaini yang berlangsung di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman.
    Baginda Sultan dan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri turut mengadakan perjumpaan empat mata yang berlangsung di Cheradi Ratna Kenchana, Istana Nurul Iman.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha semasa berkenan berangkat ke Majlis Persantapan Rasmi bagi mengalu-alukan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri dan Yang Amat Berbahagia Datin Sri Muhaini yang berlangsung di Baiturrahmah, Istana Nurul Iman. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.
    Baginda Sultan ketika berkenan menerima pesambah daripada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir.
    Baginda Sultan, Baginda Raja Isteri bersama YAB Dato’ Sri Ismail Sabri dan Yang Amat Berbahagia Datin Sri Muhaini di Istana Nurul Iman.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan berangkat ke Cheradi Ratna Kenchana, Istana Nurul Iman.
    Bolkiah ketika berkenan berangkat ke majlis tersebut.
    YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah turut berkenan berangkat pada majlis tersebut.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam berkenan berangkat pada majlis yang diadakan di Cheradi Ratna Kenchana, Istana Nurul Iman.

    Dalam meningkatkan lagi semangat setia kawan, Baginda juga mengalu-alukan perundingan seterusnya yang akan diadakan di Malaysia.

    Pada penghujung titah, Baginda menzahirkan penghargaan atas sokongan Malaysia terhadap Brunei selaku Pengerusi ASEAN pada tahun lalu, khususnya usaha-usaha meningkatkan kepentingan dan kesedaran serantau dan antarabangsa mengenai kesihatan mental.

    Selain itu, Baginda melahirkan kepercayaan atas pelantikan Malaysia selaku ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi penggal 2022-2024 yang akan terus memainkan peranan penting dalam memajukan agenda hak asasi manusia di peringkat global.

    Ini diikuti dengan ucapan balas daripada Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat melahirkan penghargaan atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui kerajaan Baginda yang menghulurkan sumbangan kepada Malaysia ketika bermulanya wabak COVID-19 seperti kelengkapan perubatan dan kit ujian yang jelas memberikan manfaat besar kepada hospital-hospital di Sabah, Sarawak dan Labuan, serta bantuan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

    Lawatan rasmi ini, jelas Yang Amat Berhormat, bakal memberikan manfaat bersama kepada Malaysia dan Brunei menerusi perundingan untuk memulakan inisiatif (VTL) bagi kedua-dua buah negara.

    Selain itu, perbincangan lanjut mengenai pengiktirafan bersama sijil vaksinasi bakal memudahkan perjalanan rakyat kedua-dua buah negara, terutamanya bagi mereka yang berulang-alik merentasi sempadan.

    Di samping itu, Yang Amat Berhormat juga menyambut baik usaha-usaha untuk meneroka kerjasama dalam bidang lain yang berpotensi tinggi dan memberikan manfaat bersama selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Wawasan Brunei 2035.

    Terdahulu, sebelum Majlis Persantapan Rasmi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, berkenan berangkat mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Malaysia dan isteri, Yang Amat Berbahagia Datin Sri Muhaini Zainal Abidin di Istana Nurul Iman.

    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kemudian berkenan menerima mengadap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan Yang Amat Berbahagia Datin Sri pada majlis yang berlangsung di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman.

    Berangkat sama pada majlis mengadap dan persantapan rasmi itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam; serta kerabat diraja.

    Juga hadir ialah Menteri Luar Negeri, Yang Berhormat Dato’ Sri Saifuddin Abdullah; dan Menteri Wilayah Persekutuan, Yang Berhormat Dato’ Seri Dr Shahidan bin Kasim.

    Turut hadir, Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku menteri pengiring, dan datin.

    Pada sebelah tengah hari, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri seterusnya berangkat ke Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan Yang Amat Berbahagia Datin Sri untuk Majlis Persantapan Rasmi.

    Majlis persantapan dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Majlis Perjumpaan Empat Mata

    Selepas majlis mengadap tersebut, Baginda Sultan berangkat bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia ke Cheradi Ratna Kenchana bagi perjumpaan empat mata.

    Perbincangan menjurus kepada kerjasama dua hala yang dapat mengukuhkan lagi hubungan di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

    Selain itu, kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan tentang perkara-perkara yang menjadi kepentingan bersama termasuk kerjasama pasca COVID-19 serta perkembangan serantau.

    Yang Amat Berhormat dan isteri, serta rombongan berada di negara ini bagi mengadakan lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam selama dua hari.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...