Sunday, May 19, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Semarak Aidilfitri kian meriah di penghujung Syawal

    Oleh Yusrin Junaidi, Sim Y. H., Daniel Lim & Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Bulan Syawal semakin hampir ke penghujungnya, namun kehangatannya masih terasa dengan majlis-majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri terus giat diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini bagi mengeratkan lagi silaturahim.

    Antara yang mengambil kesempatan untuk meraikan hari kemenangan ini bersama rakan-rakan kongsi perniagaan, pihak-pihak yang berkepentingan, klien, rakan-rakan sejawatan dan sahabat-handai adalah Hengyi Industries pada Majlis Silaturahim Hengyi Industries yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’seni, di sini, hari ini.

    Hadir untuk mengalu-alukan kehadiran para jemputan dan tetamu ke majlis sambutan berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai bersama-sama pihak pengurusan kanan serta pegawai-pegawai syarikat.

    Majlis itu dihadiri oleh para jemputan yang terdiri daripada menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil kementerian dan jabatan kerajaan serta para jemputan khas.

    Antara yang hadir ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bergambar ramai dengan Chen Lian Cai pada majlis itu. – GAMBAR SERAHAN HENGYI
    Haji Abdul Rajid semasa menghadiri berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PDI
    KIRI: Bekas anggota ABDB pengambilan ke-73 (1987) semasa menghadiri majlis sambutan tersebut. – GAMBAR SERAHAN ABDB PENGAMBILAN KE-73
    Yang Berhormat Awang Lawi hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama meraikan Sambutan Penutup Hari Raya Aidilfitri, di perkarangan Masjid Kampung Menunggol. – GAMBAR SERAHAN MPK MENUNGGOL
    Ahli keluarga yang menghadiri majlis sambutan Hari Raya di Dewan Sejahtera, Bangunan Sumbangsih, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN AJK KELUARGA BESAR ALLAHYARHAM HAJI DAUD DAN ALLAHYARHAMAH HAJAH TIMBANG

    Majlis itu juga merupakan platform bagi Hengyi Industries untuk menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan dan perkembangan berterusan syarikat berkenaan.

    Sementara itu, kelmarin, Persatuan Nurul Islam (PNI) dan Kelas Bimbingan Mualaf dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Mualaf (Pengupayaan Mualaf), Pusat Dakwah Islamiah (PDI) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Serbaguna PDI, Kampung Pulaie.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai PDI, ahli-ahli PNI, para pelajar Kelas Bimbingan Mualaf dan mualaf di Daerah Brunei dan Muara.

    Majlis seperti itu turut diharapkan dapat menyuntik semangat perpaduan Islam dalam kalangan mualaf.

    Manakala itu, seramai 42 orang bekas anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pengambilan ke-73 (1987) pula telah menghadiri majlis sambutan yang serupa di Restoran Pujangga Bersila, Jalan Kampung Sungai Akar, kelmarin.

    Majlis yang dipengerusikan oleh Haji Jaffri bin Haji Minudin dan Haji Hassan bin Tuah, yang juga bekas anggota ABDB pengambilan ke-73, itu turut dihadiri oleh bekas Komandan Institut Latihan, Leftenan Kolonel (B) Haji Abas bin Haji Bagol selaku tetamu kehormat.

    Memandangkan ramai ahli telah terpisah selama lebih 37 tahun selepas menamatkan latihan rekrut untuk meneruskan tugas di unit masing-masing, perhimpunan tersebut membawa kegembiraan apabila bekas ahli mengambil kesempatan untuk meraikan hari raya bersama-sama, sekali gus mengeratkan tali persaudaraan yang telah terjalin sejak dahulu lagi.

    Baru-baru ini pula, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Menunggol dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Kampung Menunggol berserta para penduduk kampung telah mengadakan Majlis Sambutan Penutup Hari Raya Aidilfitri di perkarangan Masjid Kampung Menunggol.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang menghimpunkan kira-kira 250 orang itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat yang juga selaku Ketua Kampung Subok.

    Turut hadir bagi mengalu-alukan tetamu kehormat ialah Ketua Kampung Menunggol, Haji Ibrahim bin Haji Osman selaku pengerusi majlis; dan Pemangku Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Zaini bin Haji Salleh.

    Dalam pada itu, sebuah keluarga besar juga mengambil kesempatan bulan Syawal ini untuk mengadakan perhimpunan besar Dewan Sejahtera, Bangunan Sumbangsih, baru-baru ini.

    Majlis berkenaan telah mengumpulkan anak-anak, cucu cicit serta kaum keluarga Allahyarham Haji Daud bin Muhamad dan Allahyarhamah Hajah Timbang binti Amin.

    Acara itu memberikan peluang untuk bersua muka di samping ramah mesra sesama kaum keluarga berikutan ada sebahagian mereka yang memiliki komitmen lain maka dengan adanya inisiatif seumpamanya dapat memudahkan dan mengumpulkan mereka dalam satu masa dan tempat yang sama.

    Majlis bertemakan Jasa Kita Tetap Kami Kenang itu diharap dapat dijadikan acara tradisi keluarga agar ikatan kekeluargaan itu tidak akan putus sampai bila-bila dan sebagai rujukan generasi muda pada masa akan datang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...