Sunday, May 19, 2024
28.2 C
Brunei

    -

    Premis diarah henti aktiviti, roboh tambahan bangunan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Sebuah perusahaan penyimpanan barang yang terletak di Kampung Sungai Buloh, Mukim Mentiri, telah diarahkan untuk menghentikan aktiviti dan merobohkan bangunan tambahannya kerana melanggar Bab 23(2), Akta Perancangan Bandar dan Desa, Penggal 248 iaitu menjalankan kegiatan perusahaan dan membina tambahan bangunan tanpa kebenaran.

    Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan bahawa kegiatan penyimpanan barang berkenaan dijalankan di kawasan perumahan dan tidak sesuai untuk tujuan penyimpanan barang.

    Tambahan bangunan yang digunakan sebagai penyimpanan barang tersebut didapati tidak teratur dan juga melibatkan tanah kerajaan.

    Selepas pemantauan dan pemeriksaan rutin dilakukan, didapati pemilik tanah berkenaan telah mematuhi arahan pihak berkuasa dengan merobohkan bangunan tambahan sekali gus membersihkan kawasan tersebut.

    Kenyataan menegaskan, sebarang perubahan dan usaha untuk penambahan bangunan tanpa kebenaran JPBD boleh menyebabkan bahaya dan menjejaskan keselamatan orang ramai.

    Dalam pada itu, orang ramai diperingatkan untuk mematuhi undang-undang perancangan khususnya Bab 23 yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh melaksanakan sebarang kemajuan atas tanah, memecah, menyatukan mana-mana tanah atau melaksanakan apa-apa kerja di dalam suatu kawasan pemuliharaan tanpa kebenaran jabatan tersebut.

    Kegagalan mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan denda sepertimana yang terdapat dalam Bab 23 (6) iaitu denda tidak melebihi $200,000 dan dalam hal kesalahan yang berterusan dikenakan suatu denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.

    Bagi sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan orang ramai bolehlah menghubungi hotline JPBD di talian 8200222 atau melalui e-mel tcp.aduan@tcp.gov.bn.

    Keadaan premis sebuah perusahaan penyimpanan barang yang terletak di Kampung Sungai Buloh, Mukim Mentiri sebelum diarahkan untuk menghentikan aktiviti dan merobohkan bangunan tambahannya. – GAMBAR SERAHAN JPBD
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...