Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Senaman selamat, sesuai bagi pesakit AECOPD

    KUALA LUMPUR – Meskipun penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik atau COPD merupakan penyebab ketiga bagi kematian utama di seluruh dunia, namun masih ramai tidak tahu penyakit ini boleh dicegah dan dirawat lebih awal.

    Menurut Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Fakulti Sains Kesihatan, Dr Fatim Tahirah Mirza, individu yang menghidap COPD dan kerap melakukan senaman berpotensi untuk mengubah kesan negatif penyakit ini terhadap diri mereka.

    “Bukti saintifik menunjukkan latihan senaman aerobik dan bebanan (kekuatan) secara minimum iaitu dua kali seminggu dapat mengurangkan sesak nafas, keletihan, perasaan cemas dan kemurungan, selain dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit COPD. Prevalens global penyakit COPD pada tahap sederhana dan teruk ialah 10.1 peratus. Justeru di Malaysia dengan populasi 33.4 juta orang, dianggarkan kira-kira 3.4 juta orang dewasa menghidap COPD,” katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena sambutan Hari COPD Sedunia pada 17 November setiap tahun dengan tema ‘Healthy Lungs – Never More important’.

    Tema itu menekankan beban COPD tidak berkurangan walaupun semasa pandemik COVID-19.

    Tidak seperti kebanyakan penyakit kronik yang lain, prevalens dan beban penyakit COPD diramalkan meningkat disebabkan pendedahan berterusan kepada faktor risiko penyakit itu seperti merokok, pencemaran udara dan penuaan penduduk dunia, tambah beliau.

    COPD adalah satu penyakit kronik sistem pernafasan, yang menyebabkan terjadi penyempitan dan radang (inflamasi) pada saluran pernafasan.

    Menurut Fatim Tahirah, perkembangan klinikal penyakit COPD termasuk tempoh kestabilan klinikal yang diselangi tempoh akut yang semakin parah, dikenali sebagai Acute Exacerbation of COPD atau AECOPD, bakal menyaksikan penghidap COPD mengalami gejala yang lebih teruk berlanjutan selama 24 jam, dan memerlukan perubahan pada ubat yang biasa dimakan mereka.

    “AECOPD yang teruk memerlukan pesakit dimasukkan ke hospital dan ini boleh menjejaskan kapasiti senaman, mengurangkan kekuatan otot dan tahap aktiviti fizikal, dengan kesemua tiga faktor risiko ini dikaitkan dengan kemasukan semula ke hospital pada masa hadapan,” katanya.

    Fatim Tahirah dan pasukannya menjalankan penyelidikan mengenai keselamatan dan kebolehlaksanaan latihan senaman yang dilakukan dalam tempoh 48 jam selepas kemasukan pesakit ke hospital, yang dikenali sebagai Randomised Controlled Trial (RCT) di Hospital Selayang dan Institut Perubatan Respiratori, Kuala Lumpur, tahun lalu.

    Beliau berkata kajian senaman itu melibatkan program berjalan kaki dan tiga latihan rintangan fungsi ke atas sekumpulan pesakit yang dilakukan dua kali sehari selama lapan sesi keseluruhannya sepanjang kemasukan pesakit ke hospital sehingga didiscaj.

    “Latihan senaman itu didapati selamat dan boleh dilaksanakan untuk pesakit yang dimasukkan ke hospital serta mampu meningkatkan kapasiti senaman dan kekuatan otot, malahan pesakit didapati kekal aktif berbanding kumpulan lain yang tidak menyertai program senaman,” jelasnya.

    Sementara itu, Fisioterapi Kanan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Pengerusi Special Interest Group (SIG), Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA), Dr Katijjahbe Mohd Ali berkata ahli fisioterapi mempunyai peranan penting dalam merawat pesakit yang menghidap COPD akut.

    Katanya, perkara itu dibuktikan secara saintifik yang menunjukkan perawatan fisioterapi boleh membantu, memulihkan dan mencegah berulangnya eksaserbasi (pertambahan keterukan sesuatu gelaja).

    “Teknik seperti fisioterapi dada, senaman pernafasan, senaman anggota badan, boleh meningkatkan status kefungsian pesakit dengan ketara yang ditakrifkan sebagai keupayaan individu untuk melakukan aktiviti harian biasa yang diperlukan bagi memenuhi keperluan asas, fungsi biasa, serta mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...