Sunday, May 19, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    SITF bakal perkenal khazanah budaya Brunei

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Keindahan pemandangan, keunikan dan kekayaan khazanah budaya Negara Brunei Darussalam bakal diperkenalkan kepada seluruh dunia menerusi penyertaan negara, dalam Pameran Pelancongan Antarabangsa Seoul (SITF) ke-39 di Republik Korea.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) di sini, pameran yang dijadualkan pada 9 hingga 12 Mei itu menyediakan peluang yang amat baik bagi Brunei untuk mempamerkan tarikan dan keindahan destinasi tersembunyi kepada pengembara serta pelancongan yang menginginkan pengalaman yang unik di Asia Tenggara.

    SITF merupakan pameran pelancongan antarabangsa unggul Korea yang telah menyaksikan penyertaan daripada lebih 70 buah negara pada SITF 2023.

    Acara itu bukan sahaja menarik penyertaan profesional dari dalam industri tetapi juga menyaksikan kehadiran jumlah pengunjung awam yang ramai.

    Ia menyediakan peluang yang amat bernilai bagi Negara Brunei Darussalam untuk mempamerkan budaya, tradisi dan pengalaman pelancongan negara bagi mengukuhkan hubungan pelancongan dua hala antara Brunei dan Korea.

    Penyertaan Jabatan Kemajuan Pelancongan dalam acara itu bermatlamat untuk meningkatkan pendedahan perkhidmatan pelancongan Brunei dan untuk menggalakkan lebih ramai pelancong Korea untuk mengenali warisan budaya kaya, pengembaraan menarik dan pemandangan landskap alam semula jadi yang ditawarkan oleh Brunei melalui aktiviti pemasaran pengalaman yang tersedia di pavilion pameran.

    Bagi mendalamkan peluang rangkaian dan menjalinkan hubungan bermakna dalam industri pelancongan Korea, sebuah sesi rangkaian antara agensi pelancongan Brunei dan Korea dijadualkan pada 10 Mei.

    Sesi itu dikendalikan dengan kerjasama Penerbangan Diraja Brunei (RB) serta dipermudahkan oleh General Sales Agents (GSA) di Seoul, Korea.

    Menyertai delegasi dari Jabatan Kemajuan Pelancongan adalah RB, Darussalam Services, Anthony Tours & Travel Sdn Bhd, Freme Travel Services Sdn Bhd, Sunshine Borneo Tour & Travel, The Empire Brunei dan Hotel Radisson Brunei Darussalam.

    Petak pameran negara yang akan ikut serta dalam SITF. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...