Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Strategi bangunkan potensi wanita

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Wanita di Negara Brunei Darussalam memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara, dan menyumbang secara terbuka dan sama rata kepada masyarakat serta diberi peluang yang sama dalam faedah sosial dan ekonomi.

    Oleh itu, beberapa inisiatif di bawah Pelan Tindakan Wanita di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) telah mengenal pasti beberapa objektif strategik untuk membangunkan potensi optimum wanita melalui kesaksamaan jantina, pembinaan kapasiti dan pembangunan diri dalam lapan bidang keutamaan, termasuk promosi dan perlindungan hak, penjagaan kesihatan, pemerkasaan ekonomi, pekerjaan dan keseimbangan kerja dan kehidupan.

    Perkara tersebut antara yang dikongsikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad semasa menghadiri Mesyuarat ASEAN-U.S. Ministerial Dialogue on Gender Equality and Women’s Empowerment yang diadakan secara dalam talian, pagi tadi.

    Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-kanak, Republik Indonesia, Puan Yang Terutama Gusti Ayu Bintang Darmawati, selaku pengerusi ASEAN Ministerial Meeting on Women (AMMW) dan, Pentadbir United States Agency for International Development (USAID), Puan Yang Terutama Samantha Power.

    Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh yang bertanggungjawab bagi hal ehwal wanita dari negara-negara anggota ASEAN, serta beberapa perwakilan dari AS.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyatakan wanita di negara ini memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. – Gambar serahan KKBS

    Yang Berhormat Dato seterusnya menambah bahawa Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah memulakan penyelidikan mengenai pembangunan wanita di Negara Brunei Darussalam, yang mana hasil dapatan daripada penyelidikan itu akan digunakan untuk menilai dan mengukuhkan lagi Pelan Tindakan Wanita.

    Penyelidikan itu juga diharap akan dapat mengenal pasti isu-isu strategik yang berkaitan dengan wanita di negara ini, seperti menyokong mata pencarian ekonomi dan menggalakkan keseimbangan work-life balance ke arah memastikan institusi keluarga yang kukuh.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menyampaikan penghargaan terhadap sokongan Amerika Syarikat (AS), terutamanya dalam inisiatif-inisiatif ke arah pemerkasaan perekonomian wanita seperti melalui pelaksanaan program latihan di bawah Academy for Women Entrepreneurs (AWE) dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARe) pada bulan Jun tahun ini.

    Program latihan ini bertujuan untuk memberikan usahawan wanita pengetahuan, rangkaian kerja dan akses yang diperlukan untuk membangun perusahaan yang berjaya.

    Di samping itu, usahawan wanita di negara ini juga diberikan akses kepada beberapa program keusahawanan seperti Industry Business Academy (IBA), yang mana hampir 60 peratus daripada 9,200 peserta program latihan IBA ini adalah wanita.

    Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan bahawa selain meraikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac setiap tahun, Negara Brunei Darussalam juga amat komited ke arah memperjuangkan isu wanita di peringkat serantau dan antarabangsa.

    Antaranya, semasa menjadi Pengerusi ASEAN Committee on Women (ACW) pada tahun 2020, Negara Brunei Darussalam telah menerajui beberapa inisiatif, antaranya ASEAN Gender Outlook Study yang dijalankan dengan kerjasama UN Women, serta ASEAN Gender Mainstreaming Framework yang dilaksanakan dengan kerjasama ASEAN Commission on the Promotion and Protection of the Rights of Women and Children (ACWC).

    Selain itu, semasa menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2021, penyediaan ASEAN Master Plan on Women’s Development yang diterajui oleh

    Negara Brunei Darussalam bersama Singapura dan Vietnam, telah dimasukkan sebagai salah satu deliverable di bawah ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC), bertujuan untuk mewujudkan rangka kerja yang lebih padu dan komprehensif yang menggalakkan kesaksamaan dan pemerkasaan keseluruhan wanita dan gadis di rantau ini.

    Selain itu, ke arah mempromosikan dialog yang membina dan sinergi serantau yang berorientasikan ke arah mewujudkan persekitaran yang memperkasakan wanita, mesyuarat itu juga telah memperkukuhkan lagi kerjasama ASEAN dengan AS dalam mempromosikan kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita, terutamanya dalam bidang pemerkasaan ekonomi wanita; wanita, keamanan dan keselamatan; pengarusutamaan jantina (gender mainstreaming), dan pencegahan serta tindak balas terhadap keganasan berasaskan jantina.

    Dialog di peringkat menteri tersebut telah diakhiri dengan memperakukan Kenyataan Bersama ASEAN–AS mengenai kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita.

    Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan pegawai-pegawai kanan dari KKBS.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...