Wednesday, May 22, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Studio animasi Jepun bantu individu autisme

    JEPUN – Disahkan menghidap autisme, Shoko Sakuma berkata dia bergelut ketika bekerja dalam bidang perakaunan tetapi kini dia memenuhi impian melukis pada zaman kanak-kanak dengan bekerja di sebuah studio animasi Jepun khas.

    Inisiatif itu bertujuan bagi menyediakan latihan kerja dan keyakinan kepada penghidap autisme yang sukar untuk menghadapi tekanan tinggi dan persekitaran waktu kerja yang lama di Jepun.

    “Saya benar-benar teruk dalam angka, yang merupakan perkara pertama yang merisaukan saya,” kata Sakuma di Shake Hands, tempat kerjanya sejak tahun lalu di Kyoto di barat Jepun.

    “Saya akan hilang sesuatu … barangan pelanggan yang sangat penting yang tudak harus awda hilangkannya,” kata lelaki berusia 39 tahun itu.

    Dengan gangguan hiper-aktif kekurangan perhatian (ADHD) dan Gangguan Spektrum Autisme (ASD), Sakuma berkata dia menghadapi masalah menumpukan perhatian pada bidang yang melibatkan kira-kira dan akhirnya mula mengalami gangguan bipolar. Kadang-kadang dia tidak dapat meninggalkan rumah.

    Yuki semasa bekerja di studio animasi Shake Hands di Kyoto. – AFP
    Sawada, ketua studio animasi Shake Hands, bercakap semasa temu bual dengan AFP di Kyoto. – AFP
    Gambar AFP
    Seorang kakitangan bekerja di studio animasi Shake Hands di Kyoto. – AFP
    Draf lukisan di studio animasi Shake Hands di Kyoto. – AFP

    Namun kini dia menghabiskan hari bekerjanya di meja yang dipisahkan – yang membantunya lebih fokus – menambah kesan digital pada bingkai utama anime.

    “Dengan personaliti saya, saya tidak boleh meneruskan ke langkah berikutnya melainkan saya benar-benar memahami setiap butiran,” katanya.

    “Pengajar di sini menerima saya seadanya dan mengajar saya dengan cara yang amat lembut.

    “Saya berasa tenang di sini. Saya berasa seronok,” ujarnya.

    TINGKAT KESEDARAN

    Kecacatan perkembangan seperti ASD telah lama dianggap sebagai masalah personaliti di Jepun, tetapi kajian saintifik telah membantu meningkatkan kesedaran awam dan mengubah dasar awam.

    Pada tahun 2004, Jepun meluluskan undang-undang yang mengiktiraf keadaan seperti ASD, ADHD dan ketidakupayaan pembelajaran, dan mewajibkan sekolah mengesan dan menyokong kanak-kanak yang memerlukan penjagaan khas.

    Ia juga meluaskan bidang kuasa untuk apa yang dipanggil kemudahan ‘Jenis B’, tempat kerja yang sebelum ini hanya melayani mereka yang mempunyai keadaan seperti sindrom Down dan kini berjumlah kira-kira 16,000.

    Dilancarkan tahun lepas, Shake Hands melakukannya dengan anime, sebuah industri seperti studio Ghibli (Spirited Away) merupakan kisah kejayaan besar bagi Jepun.

    Pengajar, Yuki Kawai berkata halangan dalam persekitaran lain boleh menjadi aset dalam animasi.

    “Filem animasi dibina berdasarkan apa yang dipanggil perakam waktu, pelan tindakan yang mengawal setiap pergerakan watak,” kata Kawai, 28.

    “Tidak adanya peraturan abstrak dalam mencipta animasi…yang mudah difahami bagi orang seperti kami,” tambahnya.

    KEMALANGAN DAHSYAT

    Kawai sendiri telah didiagnosis dengan ADHD selepas menamatkan pengajian dari sekolah seni dan reka bentuk dan pernah mengalami‘ kemalangan dahsyat’ semasa bekerja dalam bidang jualan.

    “Selalunya saya tidak dapat bangun pagi atau tidak dapat ke pejabat tepat pada masanya,” katanya. “Saya tidak dapat mengendali panggilan telefon kerana banyak kali saya tidak dapat menyebut nama orang itu dengan betul,” katanya.

    Pengalaman sedemikian untuk penghidap ASD boleh menimbulkan masalah kesihatan mental, kata Yuji Umenaga, seorang profesor Universiti Waseda dan pakar dalam kesihatan mental dan masalah pembelajaran.

    “Ramai orang yang melawat saya telah menunjukkan simptom kemurungan,” katanya sambil menambah sesetengah penghidap ASD menjadi tertekan kerana gejala mereka menyebabkan sukar untuk bertahan dalam sesuatu kerja.

    “Ubat anti kemurungan tidak berkesan untuk mereka kerana, dalam kes ASD, pencetusnya ialah simptomnya yang menyukarkan hubungan dengan bos dan rakan sekerja,” katanya.

    POTENSI MENGAGUMKAN

    Shake Hands telah menyediakan urutan animasi untuk beberapa filem blockbuster dan telah memenangi tempahan daripada firma Malaysia untuk menghasilkan promosi filem anime.

    Di studio, muzik ceria dimainkan di latar belakang untuk membantu menjadikan 10 atau lebih pekerja rasa selesa.

    “Dalam persekitaran yang tenang, sesetengah orang menjadi sensitif tentang orang lain yang berbual, memikirkan mereka mungkin menjadi bahan perbualan mereka,” kata ahli kakitangan Momoka Tsuji.

    Pekerja, yang mendapat gaji nominal, diingatkan untuk berehat setiap jam dan orang ramai boleh mula dan berhenti pada bila-bila masa yang mereka suka, walaupun pada larut malam.

    “Sesetengah rakan sekerja kami tidak berasa selesa untuk mengadakan perbualan langsung, jadi kami berkomunikasi melalui fungsi sembang intranet,” kata Tomoya Sawada, 34, ketua studio animasi.

    Profesor Umenaga berharap Shake Hands akan memberi inspirasi kepada inisiatif lain berdasarkan konsep Exceptional Minds, sebuah studio animasi AS di Hollywood yang menyediakan latihan vokasional untuk pelajar autistik.

    “Bagi membantu menyerlahkan potensi mereka, kita perlu menyediakan persekitaran yang sesuai untuk mereka, daripada persekolahan zaman kanak-kanak sehinggalah kepada latihan vokasional,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia dan New Zealand hantar pesawat, keluarkan warga dari New Caledonia

    SYDNEY, 21 MEI - Kerajaan Australia dan New Zealand mengumumkan pada hari ini bahawa mereka menghantar pesawat untuk memindahkan rakyat mereka dari New Caledonia...