Wednesday, May 8, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    Tanah perkuburan khas untuk haiwan peliharaan

    ROM – Rom amat terkenal di seluruh dunia dengan tempat persemadian atau permakaman maharaja, paus, wira, pahlawan dan raja dari Augustus sehingga kepada Saint Peter, namun tidak ramai yang mengetahui mengenai haiwan peliharaan ayam milik Mussolini.

    Ayamnya dikebumikan di tanah perkuburan paling lama di Itali, yang pada tahun ini menandakan 100 tahun kawasan itu mengebumikan kucing kesayangan, anjing dan juga haiwan lain di kubur sama seperti manusia yang terletak di barat daya ibu negara Itali.

    Selama beberapa dekad, lebih daripada 1,000 haiwan peliharaan telah dikebumikan di ‘Casa Rosa’, di mana kubur kayu bercat dalam warna terang dihiasi dengan haiwan mainan dan anak patung berkongsi ruang dengan batu nisan klasik di tempat redup di bawah pokok pain dan palma. Selama 100 tahun, kawasan tanah yang kecil ini telah menjadi tempat perkuburan untuk haiwan peliharaan termasuk anjing, kucing, arnab, burung merpati, itik, burung nuri, pipit, kuda, hamster malah singa betina.

    Kebanyakan mereka terdiri daripada tuan haiwan peliharaan pedigri, termasuk pengarah La Dolce Vita Federico Fellini, aktres yang memenangi anugerah Oscar Anna Magnani dan Brigitte Bardot, di mana anjing poodle kesayangannya mati ketika dia mengadakan penggambaran filem di Rom.

    Namun pemilik haiwan peliharaan paling terkenal adalah mendiang diktator Itali, Benito Mussolini.

    Kubur anjing peliharaan Briciola di kubur Casa Rosa. – AFP
    Gambar menunjukkan kubur yang dihiasi di tanah perkuburan Casa Rosa. – AFP
    Gambar menunjukkan kubur anjing peliharaan bernama Luna di tanah perkuburan Casa Rosa di Rom. – AFP
    Kubur anjing peliharaan dihiasi dengan patung mainan di tanah perkuburan Casa Rosa di Rom. – AFP
    Casa Rosa adalah satu-satunya tanah perkuburan haiwan peliharaan yang mempunyai lesen majlis perbandaran. – AFP

    “Ia sebenarnya bermula dengan ayam Mussolini,” kata Luigi Molon, 73 tahun, tuan punyai tanah perkuburan Casa Rosa.

    “Tidak mempunyai tanah untuk mengebumikannya, Mussolini membawa ayamnya ke sini, di mana anaknya akan datang bersama bunga untuk mengenangkan semula masa gembira mereka bersama.”

    Haiwan peliharaan anaknya diambil oleh keluarga Mussolini sebagai anak ayam selepas mereka memenanginya pada satu pertandingan di pesta, dan dikebumikan di bidang tanah milik bapa Molon, pakar veterinar terkenal untuk ‘Il Duce.

    Tidak adanya tanda ayam dan Molon ketawa apabila ditanya di mana sebenarnya ayam itu dikebumikan – dia sendiri pun tidak tahu.

    Namun pengebumian ayam yang terkenal itu memberikan inspirasi kepada orang lain, dan tidak lama selepas itu, halaman belakang rumah bapa Molon diubah menjadi tanah perkuburan haiwan peliharaan, sejak diberikan lesen oleh pihak berkuasa awam Rom.

    Hari ini, kebanyakan haiwan peliharaan di Casa Rosa mempunyai keturunan atau spesies biasa, daripada Carlitos Shih Tzu kepada anjing Irish Lord Byron, namun kesemuanya amat disayangi oleh tuannya.

    “Rumah sungguh sunyi dan sedih tanpa kamu,” menurut inskripsi yang terpahat di batu nisan granit Ringo, seekor anjing German Shepherd yang mati pada 1979.

    “Saya sayangi kamu,” menurut satu lagi inskripsi mengenai penyu Ruga, yang mati pada 2017. Kebanyakan kubur termasuk gambar haiwan kesayangan yang mati: Billo anjing spesies spaniel hitam dan putih digambarkan dalam pelukan keluarga kesayangan, sementara sekeping gambar anak anjing sheperd Jack ditempatkan bersebelahan kubur yang menunjukkan seekor anjing pemburu warna kelabu dan berangus di mulutnya. Kuda, arnab, monyet, hamster, penyu, itik, burung merpati, nuri dan singa bernama Greta juga dikebumikan di sini.

    Sesetengah ahli keluarga yang sedih melawat haiwan peliharaan mereka yang dikebumikan setiap minggu, kata Molon. Ritual menziarahi dan membawa bunga atau haiwan mainan ‘bagaikan aktiviti berterusan untuk membawa haiwan kesayangan mereka bersiar-siar,’ katanya.

    Molon enggan mengatakan jumlah yang dibelanjakannya untuk membiayai kubur lima tahun itu, walaupun laporan mencadangkan ia menelan kos kira-kira 150 euro setahun. Ramai memperbaharui kos kubur tersebut tetapi ramai juga yang enggan berbuat demikian, membuka ruang kepada orang lain untuk mengikut jejak langkah tersebut.

    “Dan ia bukan sesuatu yang teruk, kerana sekiranya awda tidak memperbaharui selepas lima tahun, ia bermakna tidak adanya lagi rasa sedih dan sakit,” ujar Molon, di mana anak lelakinya akan mengambil alih tanah perkuburan itu pada satu hari nanti.

    Seekor kucing warna perang kemerah-merahan tanpa ekor – yang diselamatkan Molon tetapi belum diberikan nama – tidur di atas rumput hijau tiruan di atas kubur tanpa batu nisan dan dihiasi dengan patung mainan anjing. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...