Wednesday, May 8, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Tanai tanggungjawab dalam kehidupan berumah tangga

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 21 JUN – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran dan motivasi dalam menanai tanggungjawab meniti kehidupan berumah tangga, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong dengan kerjasama Unit Khidmat Nasihat Keluarga Daerah Tutong mengadakan kursus nikah bagi 50 pasangan suami isteri.

    Kursus selama dua hari itu bermula hari ini di Dewan Kemasyarakatan Kampung Bu-kit Beruang, Daerah Tutong.

    Diadakan sempena memperingati Sambutan Jubli Emas 50 tahun Bangunan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, kursus itu melibatkan pasangan baharu bernikah atau yang belum berkesempatan untuk mengikuti kursus nikah disebabkan kekangan pandemik COVID yang melanda negara.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Haji Azman bin Haji Musa yang turut menyampaikan ceramah bertajuk ‘Perkahwinan dalam Islam: Hak dan Tanggungjawab Suami Isteri’ bagi sesi pertama kursus pada sebelah pagi.

    Pada sebelah petang, acara diteruskan lagi dengan sesi kedua iaitu ceramah berjudul ‘Penderaan: Punca dan Kesan daripada Pandangan Polis Di-raja Brunei’ yang disampaikan oleh ASP Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani dari Unit Penderaan dan Keganasan Rumah Tangga.

    Seramai 50 pasangan suami isteri menyertai Kursus Nikah yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin
    di Dewan Kemasyarakatan Kampung Bukit Beruang, Daerah Tutong.

    Menerusi kursus nikah itu, ia secara tidak langsung mampu memberikan ilmu pengetahuan, pengalaman dan tip-tip dalam pelbagai sudut mencakupi penghayatan keagamaan dalam berkeluarga dan undang-undang keluarga yang berkuat kuasa di Negara Brunei Darussalam.

    Perkara-perkara berkenaan begitu mustahak disemai dalam setiap pasangan bagi membuka minda dan jiwa dengan pendedahan teknik dan kemahiran keibubapaan
    dalam menguruskan soal-soal kehidupan rumah tangga. Ia sekali gus memantapkan kefahaman mengenai kehidupan keluarga berkualiti dan harmoni.

    Dua tajuk ceramah berkisar ‘Akta Undang-undang Keluarga Islam: Amalan dan Prosedur di Mahkamah Syariah’ dan ‘Penceraian: Punca dan Cara Mengatasinya’ akan diketengahkan pada hari terakhir kursus esok.

    Dengan adanya acara sedemikian, pihak penganjur berharap ia dapat memberigakan kepada orang ramai khususnya para penduduk di Daerah Tutong bahawa kursus nikah masih dilaksanakan bagi bakal-bakal pengantin baharu yang akan melangsungkan pernikahan.

    Ini kerana berkemungkinan ramai yang masih tidak pasti adakah perlu atau tidaknya lagi kursus dilaksanakan lebih-lebih lagi di saat negara masih mengamalkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) sejajar dengan ketetapan daripada Kementerian Kesihatan.

    Pada kebiasaannya, kursus nikah berkenaan akan dibukakan kepada pemohon yang belum lagi bernikah namun disebabkan negara mengalami impak gelombang kedua COVID, maka kebanyakan yang mengikuti kursus berkenaan terdiri daripada pasangan yang telah bernikah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan catat suhu paling panas pada April

    SEOUL, 7 MEI - Korea Selatan mengalami April terpanas sejak rekod komprehensif bermula pada 1973, kata agensi cuaca hari ini, dengan purata suhu harian...