Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Tanggungjawab ketua kampung terajui perpaduan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Seorang ketua kampung adalah bertanggungjawab bagi menerajui perpaduan, keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan hidup bermasyarakat di sesebuah kampung.

    Mereka juga merupakan penggerak kepada pembaharuan, pembangunan dan perkembangan sosioekonomi masyarakat kampung serta menjadi contoh teladan kepada masyarakat mukim dan kampung serta sebagai perantara dua hala kerajaan dengan penduduk atau masyarakat kampung.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim semasa Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Kawasan 2, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor-Mengkubau, Mukim Mentiri yang berlangsung di Taman Riadah Bukit Mengkubau, hari ini.

    Beliau turut menyatakan, ketua kampung bertindak sebagai peneraju bagi mengukuhkan, memantapkan, mempertahankan dan mengekalkan sistem pemerintahan bernegara di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    “Seorang ketua kampung mestilah bekerjasama rapat dengan penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dalam mukimnya dan mukim persekitarannya dalam membangun dan memeduli kesejahteraan, keamanan, keselamatan, keharmonian dan perpaduan masyarakat dengan sikap pemedulian dan prihatin yang sewajarnya kepada hal ehwal suka duka penduduk kampung.”

    Pegawai daripada Jabatan Daerah Brunei dan Muara membuat pengiraan undi bagi majlis yang berlangsung di Taman Riadah Bukit Mengkubau, kelmarin.
    Antara yang hadir pada majlis yang berlangsung di Taman Riadah Bukit Mengkubau, kelmarin.

    Mereka, tekan Awang Misle lagi, juga bertanggungjawab dengan mewujudkan budaya hidup berjiran dalam satu masyarakat pemedulian dan bersefahaman dengan cara mengawasi dan memelihara perpaduan serta keharmonian masyarakat di samping mencegah unsur-unsur perpecahan.

    “Berusaha dan berikhtiar untuk memperbaiki dan memeduli hal ehwal kampung dan masyarakat di dalamnya serta sentiasa peka akan keadaan semasa dan yang mungkin berlaku di dalam kampung serta sekelilingnya,” tambah baliau.

    Tiga orang calon telah dibawa ke majlis pengundian dan pemilihan berkenaan iaitu Pengiran Hazlyn bin Pengiran Hashim, Haji Awang Mohammad Eddie Hardey bin Haji Ibrahim dan Pengiran Mohd Jeffery bin Pengiran Haji Kula.

    Majlis pengundian dilaksanakan dengan menggunakan kertas undi dan pengundian secara atas talian melalui aplikasi mudah alih e-Undi PMKK.

    Dalam majlis pengundian berkenaan, seramai 399 orang telah mendaftar dan daripada jumlah berkenaan, seramai 315 orang telah mengundi di mana keputusan undian menunjukkan Haji Awang Mohammad Eddie Hardey mendapat sebanyak 183 undi, Pengiran Hazlyn memperoleh 85 undi dan Pengiran Mohd Jeffery mendapat sebanyak 47 undi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...