Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Terapi ketuhanan penawar penyakit mental

    Oleh Yusrin Junaidi

    Kesihatan mental menurut agama Islam adalah sangat penting diketahui setiap Muslim.

    Kesihatan mental juga sama pentingnya dengan kesihatan fizikal kerana ia memberi perubahan besar dari segi perilaku manusia semasa menjalani kehidupan seharian.

    Keadaan mental yang teruk dapat mengubah cara seseorang menangani stres, berhubungan dengan orang lain, bahkan dapat mendorong hasrat untuk menyakiti diri sendiri.

    Oleh itu, setiap orang perlu mengetahui pentingnya menjaga kesihatan mental daripada perspektif Islam.

    Perkara tersebut diketengahkan oleh Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned ketika membentangkan kertas perdana sempena Seminar Serantau Kesihatan Mental 2023 dengan tajuk seminar ‘Kesihatan Mental Ke arah Kesejahteraan Ummah’ di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas baru-baru ini.

    Yang Berhormat Mufti Kerajaan ketika membentangkan kertas perdana sempena Seminar Serantau Kesihatan Mental 2023 bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, akal yang sihat terletak dalam badan yang sihat. Sebab itulah, kesihatan mental adalah sangat-sangat dihajati, sebaliknya semua orang perlu meminta kepada Allah SWT agar penyakit berkenaan benar-benar dijauhi.

    Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia

    Penyakit mental adalah antara lima penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia. Ia bukan hanya terdiri daripada satu jenis sahaja, tetapi secara umum terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu neurosis, mengalami gangguan dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan.

    Antara contoh penyakit neurosis ialah kemurungan, iaitu perasaan yang melampau dan berpanjangan dan berat untuk ditanggung.

    Kumpulan kedua adalah kebimbangan, iaitu perasaan bimbang, resah dan gelisah, yang mengakibatkan seseorang itu merasa tertekan, tegang, berpeluh, berdebar-debar dan merasa takut yang melampau akan bahaya yang tidak diketahui puncanya dan ketiga adalah psikosis, iaitu mengalami perubahan amat ketara dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku, di mana kewarasan juga terjejas. Penderita akan merasa keliru, mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi dengannya, dikenali sebagai halusinasi dan banyak lagi.

    Penyebab penyakit mental

    Secara am, penyakit mental tidak diketahui dengan tepat penyebabnya. Namun menurut teori, ada beberapa faktor yang dianggap boleh menyumbang kepada terjadinya penyakit mental, antaranya faktor genetik atau keturunan.

    Misalnya jika di dalam keluarga, ada yang mempunyai sejarah penyakit mental, maka menurut teori, golongan ini berisiko lebih tinggi, berbanding populasi yang tidak ada sejarah penyakit berkenaan.

    Selain itu, faktor bahan kimia neurotransmitter dalam otak terganggu atau tidak berfungsi dengan baik akan membawa kepada gejala penyakit mental. Faktor sejarah hidup getir juga disebut sebagai penyebab, seperti pernah mengalami proses kelahiran yang sukar, kehilangan ibu bapa semasa kecil atau terlalu kerap mengalami cabaran-cabaran pahit dalam hidup dan sebagainya.

    Adakah penyakit ini boleh dirawat

    Menurut Yang Berhormat Pehin Mufti Kerajaan, penyakit mental sudah tentu dapat dirawat kerana setiap penyakit, memang Allah menyediakan ubatnya dan kita digalakkan untuk berubat.

    Dalam bidang perubatan moden telah menemukan ubat-ubat yang dianggap mampu merawat penyakit mental.

    Selain ubat psikotropik, pendekatan sokongan juga digunakan. Misalnya kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, terapi pemulihan cara kerja dan pemulihan psikososial serta pendidikan psikologi dianggap sebagai ubat merawat mental.

    Semua hospital dan klinik kesihatan, biasanya mempunyai kakitangan terlatih untuk memberikan rawatan kepada mereka yang mengalami masalah mental dengan pakar psikiatri pula sedia dirujuk bagi kes-kes yang rumit.

    Inilah rawatan moden yang menampilkan pelbagai jenis terapi. Semua ini adalah terapi biasa dengan nama-namanya dicipta menurut kesesuaian. Siapakah yang mencipta nama-nama itu, tentu saja para pakar dalam bahagian masing-masing, seperti juga ubat-ubat adalah dicipta oleh para ahli berkenaan.

    Namun ramai yang tidak menyedari bahawa terapi dan ubat merawat mental yang paling diperlukan adalah terapi zikir, terapi Al-Quran atau terapi sembahyang.

    Memandangkan penyakit mental berpangkalan di hati, kita perlu mengubati hati terlebih dahulu dengan ajaran Islam iaitu memperbanyakkan zikir, membaca Al-Quran dan sembahyang serta berdoa memohon agar hati kembali tenang.

    Dalam firman Allah SWT juga ada mengatakan dengan tafsirannya “Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati-hati.”

    Justeru ibadat sembahyang adalah tidak terpisah daripada Al-Quran, sama-sama menjadi terapi dan ubat bagi merawat semua penyakit, termasuk penyakit mental.

    Jadi di sini adalah sesuai bahkan perlu untuk pakar-pakar Muslim memikirkan langkah-langkah terbaik, di samping kita juga tidak menolak terapi ciptaan-ciptaan orang lain, mengapa terapi ketuhanan yang ditunjuk oleh Allah dalam kitabNya tidak digunakan sama?

    Maka melalui majlis yang bersukut baik ini, Yang Berhormat Pehin dengan segala besar hati menyarankan supaya terapi ketuhanan berupa zikir-zikir yang meliputi ayat-ayat Al-Quran, ruqyah-ruqyah Nabawiyyah dan doa-doa turut diperkenalkan di pusat-pusat kesihatan dan klinik-klinik Islam negara sebagai rawatan utama atau sekurang-kurangnya sebagai rawatan sokongan kepada terapi-terapi yang sedia ada.

    Jangan pandang ringan aspek kesihatan mental

    Sebelum wabak pada 2019, telah dianggarkan satu daripada lapan orang di seluruh dunia hidup dengan gangguan mental. Kemudian masuk era COVID-19, telah berlaku krisis global kesihatan mental yang lebih kronik, yang melibatkan berjuta-juta orang.

    Anggaran telah meletakkan peningkatan kemurungan melebihi 25 peratus dalam tempoh tahun pertama sahaja wabak ini, menurut data terbaharu yang diedarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Bahkan menurut Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom, dapatan ini mungkin hanya sebahagian kecil sahaja dan masih ada lagi kejadian depresi yang belum terungkap.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan beliau sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022 antara lain menekankan, “Beban kesihatan mental di peringkat global semakin meningkat akibat cabaran yang dihadapi di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”

    Yang Berhormat Dato menambah dengan menyebut rekod kesihatan elektronik (Bru-HIMS) bagi tahun 2021, seramai 1,515 individu telah didiagnosis dengan anxiety disorder dan lebih daripada 900 individu mengalami depressive disorders.

    Menurut Yang Berhormat Dato lagi, di seluruh dunia, pandemik COVID telah mengakibatkan peningkatan tahap tekanan mental atau stres. Dianggarkan satu dalam empat individu mengalami masalah mental semasa tahun pertama pandemik berlaku.

    Selain pandemik, dunia juga terus dilanda pelbagai musibah, seperti kejadian gempa bumi, banjir besar, ribut taufan, letusan gunung berapi, peperangan, krisis-krisis politik dan ekonomi yang tiada redanya. Tidak diragui kesan daripada musibah tersebut berpotensi mencetuskan gejala-gejala kemurungan penyakit mental.

    Maka, umat Islam perlu bersiap sedia untuk menguatkan lagi semangat untuk terus beramal dan menerapkan terapi ketuhanan berupa zikir-zikir, ayat-ayat Al-Quran dan sembahyang, sebagai alat penenang jiwa yang runsing bahkan ubat bagi penyakit mental.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...