Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Teroka prospek kerjasama di M’sia, S’pura

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan rombongan kelmarin telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Tuan Yang Terutama Senator Datuk Dr Naim Mokhtar.

    Majlis berlangsung di Pejabat Yang Berhormat Menteri, Aras 10, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya, Putrajaya Malaysia di mana turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yussof dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

    Terdahulu, Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim yang juga Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam, serta rombongan telah membuat kunjungan dan perbincangan ke Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), di Kompleks Islam Putrajaya, Presint 3, Putrajaya, Malaysia.

    Sesi kunjungan hormat dan rundingan kerjasama tersebut adalah dalam usaha Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) untuk memperkemas dan merealisasikan fokus strategik Jaminan Keselamatan dan Kesejahteraan Sosial dalam Rancangan Strategik KHEU 2020-2024.

    Di samping itu, ia juga untuk mempertingkatkan integrasi rangkaian dan peluang kerjasama dalam bidang berkaitan zakat, wakaf, wasiat dan baitulmal. Ini terutama dalam mengenal pasti amalan-amalan terbaik dalam hal ehwal pentadbiran, pengurusan sumber tenaga manusia, struktur organisasi, kewangan, perundangan, mekanisme kutipan dan agihan zakat pendapatan dan zakat harta, Akreditasi Tauliah Mengajar Agama dan Program Pengupayaan Asnaf.

    Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama dan rombongan kini sedang dalam rangka lawatan selama sembilan hari, hingga 7 Februari, ke Malaysia dan Republik Singapura.

    Sepanjang lawatan itu, rombongan turut mengadakan kunjungan muhibah dan rundingan kerjasama dan membuat tinjauan ke beberapa tempat termasuk Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) serta anak syarikatnya dan dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (PERGAS), Republik Singapura.

    Tinjauan lawatan dan rundingan kerjasama turut menyasarkan beberapa entiti atau anak syarikat majlis agama Islam negeri-negeri di Malaysia dan Republik Singapura bagi mengadaptasi pelaksanaan urus tadbir struktur organisasi dan fungsi korporat pengurusan wakaf dan baitulmal, selain meneroka prospek kerjasama dan mendapatkan maklumat eksklusif mengenai projek-projek wakaf dan baitulmal di luar negara.

    Di samping, ia juga dapat mencapai matlamat strategik Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam dalam usahanya bagi meningkatkan kualiti dan produktivitinya dalam mengembangkan hartanya melalui horizon pelaburan yang patuh syarak agar sentiasa relevan dengan peredaran zaman, keperluan semasa dan kesesuaian di Negara Brunei Darussalam.

    Gambar ramai rombongan Negara Brunei Darussalam semasa mengadakan kunjungan hormat. – Gambar serahan KHEU
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim menerima cenderamata daripada TYT Senator Datuk Dr Naim Mokhtar.
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim mengetuai rombongan Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...