Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Terokai potensi pelancongan, hospitaliti Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Pelancongan dan hospitaliti Islam yang halal lagi baik merupakan salah satu produk pelancongan yang telah wujud dan diperkenalkan secara meluas oleh kebanyakan negara Islam.

    Tren pelancongan Islam ini dilihat semakin berkembang secara pantas, termasuk di negara-negara bukan Islam seperti Republik Korea dan Jepun, dengan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang bertujuan untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara walaupun dalam keadaan yang sangat terbatas disebabkan situasi yang melanda dunia iaitu wabak COVID.

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong mengongsikan perkara tersebut semasa menyampaikan ucaptama pada Seminar Antarabangsa mengenai Pelancongan dan Hospitaliti Halal sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) bagi tahun 2022 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, secara hibrid hari ini.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menambah, dengan jumlah kira-kira 1.8 bilion penduduk Muslim daripada lebih 50 buah negara di dunia sudah cukup menjadikan pelancongan dan hospitaliti Islam sebagai potensi pasaran yang sangat besar.

    Selain itu, beliau turut mengongsikan kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam indeks global masih sama iaitu di tempat keenam dalam kategori perkhidmatan dan penilaian perkhidmatan bagi destinasi yang memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelancong Islam.

    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa menyampaikan ucaptama pada ISHTaH sempena Brunei MYCE bagi tahun 2022 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, secara hibrid kelmarin. – Gambar Muiz Matdani

    Katanya lagi, “Menurut Mastercard Crescent Rating Global Muslim Travel Index (GMTI 2021), Brunei memperoleh 100 markah dalam kategori perkhidmatan seperti di lapangan terbang dan tempat solat dan 100 markah dalam kategori persekitaran (kepercayaan dan keselamatan).”

    Selain itu, Negara Brunei Darussalam juga memperoleh 72 markah dalam kategori akses (infrastruktur pengangkutan), 67 dalam kategori persekitaran (iklim) dan 55 dalam komunikasi (kemampuan berkomunikasi).

    Beliau seterusnya berharap supaya semua stakeholder yang terlibat industri pelancongan akan berusaha dengan gigih untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dalam industri pelancongan supaya mata dan kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam indeks tersebut meningkat naik.

    Yang Berhormat Dato turut menekankan, stakeholder dalam industri pelancongan itu bukanlah bererti hanya Lembaga Pelancongan Brunei, Jabatan Kemajuan Pelancongan, persatuan agen pelancongan, pengendali hotel-hotel, pemandu pelancong, pengendali restoran, pengendali pengangkutan awam, pengendali destinasi pelancongan sahaja.
    “Ia termasuk setiap individu dalam negara yang merupakan hos atau tuan rumah bagi pelancong-pelancong dalam negara ini,” tegasnya.

    Katanya lagi, “Pihak awam juga mestilah mengamalkan nilai-nilai Islam yang terpuji bukan sahaja dengan menghormati tetamu atau pelancong tapi sama-sama memelihara kebersihan tempat-tempat awam dan tidak merosakkan atau perbuatan vandalisme terhadap kemudahan awam yang telah dibangunkan oleh pihak kerajaan dan lainnya.

    “Setiap stakeholder dikehendaki supaya sentiasa menjalankan urus niaga mereka dengan mematuhi segala undang-undang dan peraturan setiap masa yang mana antara tujuan utamanya adalah bagi menjaga kesejahteraan dan keselesaan orang ramai,” tekannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...