Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    ‘Tiada hasil keluaran tahun ini’

    TASIK DUKAN, IRAQ – Petani di negeri Kurdistan Iraq yang berusaha mengairi tanaman bakal melihat sumber pendapatan mereka terjejas teruk ketika air Tasik Dukan semakin surut dan empangan di hulu sungai di Iran membendung aliran air tersebut.

    Bapir Kalkani, yang juga seorang ahli kesatuan perniagaan, bercucuk tanam berdekatan tasik yang indah itu tetapi telah menyaksikan perubahan ketara dalam tempoh tiga tahun lalu ketika Iraq mengalami kemarau berpanjangan.

    “Terdapatnya air di mana saya berdiri sekarang pada 2019,” kata petani berusia 56 tahun itu. “Ia mengalir tiga kilometer lebih jauh sebelum ini tetapi kini paras air telah merosot.”

    Pokok bijan dan kekacang ditanam di kawasan datar dan beralun di bawah pancaran terik mata hari, bersebelahan dengan tasik yang airnya dibekalkan oleh cawang sungai Tigris, sungai Zab di kawasan hilir yang mempunyai sumbernya di Iran.

    Tasik buatan yang besar itu diwujudkan pada tahun 1950 berikutan pembinaan empangan Dukan, bertujuan untuk membekalkan pengairan dan air minuman untuk rantau itu, selain menghasilkan elektrik.

    Bapir Kalkani memeriksa ladang gandumnya di daerah Rania berdekatan empangan Dukan, barat laut bandar Sulaimaniyah di rantau Kurdistan. – AFP
    Seorang petani menggali menggunakan penyodok sistem saliran parit untuk air yang dibekalkan dari sebuah telaga, di sebuah ladang di daerah Rania. – AFP
    Gambar fail menunjukkan pemandangan di Empangan Dukan dan kawasan tadahan di belakang di timur laut bandar Sulaimaniyah di rantau Kurdistan. – AFP

    Namun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kedua-dua tasik dan sungai telah menyusut – begitu juga dengan semua sungai di Iraq.

    Negara itu dikelaskan sebagai salah sebuah daripada lima negara yang paling mudah terkesan oleh perubahan iklim dan penggurunan.

    Simpanan airnya telah berkurangan sebanyak 60 peratus berbanding tahun lalu, menurut kerajaan.

    Dengan turunan hujan semakin jarang berlaku dan selepas kemarau selama tiga tahun berturut-turut, Iraq terpaksa mengurangkan separuh kawasannya yang diperuntukkan untuk bercucuk tanam.

    “Sekiranya hujan tidak turun pada akhir musim bunga, tanaman tidak menjadi dan tidak adanya hasil keluaran di Kurdistan pada tahun ini,” kata Kalkani.

    Petani di kawasan itu biasa menggali telaga cetek yang dibekalkan oleh air dari tasik Dukan supaya mereka boleh mengairi tanaman mereka. Namun bukan lagi sekarang.

    “Telaga telah kehilangan 70 peratus daripada airnya,” katanya.

    Pekebun tanaman bijan Shinko Aziz Ahmed terpaksa menggali sebuah perigi beberapa meter dalam supaya dia boleh mendapatkan air dan menaikkannya dengan menggunakan pam diesel.

    “Pokok bijan memerlukan banyak air, maka saya terpaksa menggali lebih dalam apabila paras air berkurangan.”

    Kemarau bukan satu-satunya punca masalah air yang dihadapi petani.

    Iran telah membina beberapa empangan di kawasan hilir Zab, terutamanya bendungan rendah Kolsa.

    “Empangan Kolsa telah mengakibatkan penurunan sekurang-kurangnya 80 peratus dalam paras air di kawasan hilir Zab,” kata Banafsheh Keynoush dari Institut Timur Tengah yang berpangkalan di Washington.

    Menurut beliau, Iran sedang mengalami salah satu kemarau paling teruk dalam sejarah dan terpaksa mengubah dasar penyalirannya.

    “Iran beria-ia membina empangan dan kebanyakan empangannya adalah kecil,” beritahunya kepada AFP.

    Empangan Dukan di Iraq telah terjejas teruk akibat aliran sungai yang berkurangan, menurut pengarah Kochar Jamal Tawfeeq.

    “Sekarang kami hanya mempunyai 41 peratus air, kurang separuh daripada kapasiti air dalam empangan”.

    Ia membekalkan air minuman kepada ‘kira-kira tiga juta penduduk di Sulaymaniyah dan Kirkuk,’ dua bandar utama di kawasan hilir.

    Namun turunan hujan berjumlah kurang 12 inci pada tahun lalu – separuh daripada purata tahunan sebelum ini – situasi yang tidak memihak kepada para petani. Tawfeeq berkata tahun 2022 bakal mencerminkan angka pada tahun lalu.

    “Kami melepaskan 90 meter padu air setiap saat,” kata pengarah. “Apabila tadahan sudah penuh, kami melepaskan 200 hingga 250 meter padu air.”

    Tawfeeq berkata petani diberitahu ‘supaya jangan menanam tanaman yang memerlukan banyak air’.

    Beliau berkata Baghdad telah menghantar pasukan ke Iran untuk membincang aliran yang berkurangan di sungai Zab namun ‘tidak adanya kerjasama daripada pihak Iran’.

    Iran menegaskan sumbangan aliran airnya ke lembangan Tigris dan Euphrates hanya berjumlah kira-kira enam peratus, menurut Keynoush.

    “Apa yang ingin dikatakan Iran adalah: ‘Masalah yang awda hadapi dengan Euphrates dan Tigris adalah antara awda dan Turkiye’, di mana dua sungai utama mempunyai sumber mereka sendiri,” tambah beliau.

    Namun Iraq sendiri tidak terlepas daripada kritikan, kata Azzam Alwash, pengasas dan penasihat presiden pertubuhan bukan kerajaan Nature Iraq.

    Penduduk Kurdistan di utara Iraq merancang membina empangan baharu tetapi projek tersebut tidak mempunyai penyelarasan dari Baghdad, menurut Alwash.

    Di kawasan hilir, di tengah dan selatan Iraq, situasi diburukkan lagi oleh kekurangan pemodenan sumber air dan mungkin membawa kepada bencana, beliau mengingatkan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...