Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Tiga terima hidayah Islam

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Seorang lelaki warganegara New Zealand dan anak perempuannya serta seorang perempuan berbangsa Dusun telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di The Walk, Beribi, hari ini.

    Pengislaman ketiga-tiga saudara baharu berkenaan iaitu Simon Philip Brunner Keenan dan anaknya, Clementine Jane Keenan serta Dayang Issuroney binti Iko telah dilaksanakan di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah (PDI).

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pengarah PDI, Haji Ruslan bin Haji Sulaiman.

    Dengan pengislaman berkenaan, Simon Philip kini dikenali sebagai Muhammad Ali dan anak perempuannya sebagai Sarah, manakala itu, Issuroney memilih nama Islamnya sebagai Nur Issma Amanni binti Muhammad Iko.

    Ketika ditemui, Muhammad Ali berkata, beliau tertarik dengan budaya orang Islam sejak berada di negara ini 11 tahun yang lalu, dan kini berkesampaian memeluk agama Islam memandangkan kawan-kawannya pun juga sudah masuk Islam.

    ATAS & BAWAH: Haji Ruslan menyampaikan cenderahati kepada saudara-saudara baharu yang diraikan semasa majlis berkenaan.

    “Bukan setakat itu, saya tertarik dengan agama Islam kerana ia mementingkan keharmonian, keamanan, kesejahteraan dan banyak lagi, dan saya perlu mempelajari selagi diberi kesempatan.

    “Alhamdulillah, ahli keluarga di New Zealand juga memberikan sokongan dan sangat bahagia dengan pilihan saya”, ujarnya lagi.

    Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban dan seterusnya penyampaian cenderahati yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

    Menurut kenyataan PDI, sejak Januari hingga November 2022, seramai 400 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 141 orang adalah dari Daerah Brunei dan Muara.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...