Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Trafik Terusan Suez kembali ‘normal’

    ISMAILIA, MESIR, 9 JAN – Trafik maritim Terusan Suez kembali ‘normal’ kelmarin selepas sebuah kapal kargo yang membawa bijirin Ukraine terkandas namun berjaya diapungkan dan ditunda, kata pihak berkuasa Mesir yang mentadbir laluan air penting itu.

    Insiden membabitkan kapal M/V Glory yang didaftarkan di Kepulauan Marshall sepanjang 225 meter itu telah mencetuskan kebimbangan akan berulangnya sekatan besar pada 2021 apabila kapal kontena gergasi Ever Given menyekat terusan tersebut.

    Penutupan seminggu panjang laluan air buatan manusia yang menghubungkan Asia dan Eropah itu menyebabkan kerugian berbilion dolar menerusi kelewatan penghantaran dan mengorbankan nyawa seorang pekerja Pihak Berkuasa Terusan Suez dalam operasi melepaskan kapal mega itu.

    Ketua SCA, Osama Rabie memberikan kenyataan semua okey hari ini apabila beliau berkata ‘lalu lintas bergerak seperti biasa di Terusan Suez’ selepas pihak berkuasa telah ‘menggerakkan empat bot tunda untuk menunda kapal’ membolehkannya meneruskan laluan melalui terusan itu.

    “Terusan itu beroperasi seperti biasa dengan mendaftarkan 51 kapal yang melalui kedua-dua arah hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

    Trafik lancar melalui Terusan Suez amat penting bagi Mesir, negara paling ramai penduduk di dunia Arab, yang kini dilanda krisis ekonomi yang menyaksikan mata wang itu kehilangan 75 peratus nilainya dalam masa kurang setahun. – AFP

    Gambar yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Terusan Suez menunjukkan bot penunda menarik kapal M/V Glory di Terusan Suez berhampiran al-Qantarah antara Pelabuhan Said dan Ismailia. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...