Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Transformasi 5G memodenkan infrastruktur telekomunikasi

    Oleh AK Zaki Kasharan

    Sejak komunikasi mudah alih mula diperkenalkan di Negara Brunei Darussalam oleh Jabatan Telekom Brunei (JTB) menggunakan Advanced Mobile Phone System (AMPS), ia telah mengubah cara berkomunikasi secara dramatik berbanding telefon talian tetap alternatif.

    Telefon bimbit, seperti namanya, membolehkan pengguna berkomunikasi semasa bergerak dan popularitinya telah menguasai dunia.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNN, baru-baru ini, revolusi teknologi mudah alih di Negara Brunei Darussalam menyaksikan peningkatan sepanjang tahun dengan pengenalan Sistem Global untuk Komunikasi Mudah Alih (GSM) pada tahun 1995 oleh Datastream Technology Sdn Bhd (DST).

    GSM ialah standard yang dibangunkan oleh European Telecommunications Standards Institute (ETSI) untuk menetapkan protokol bagi rangkaian selular digital generasi kedua (2G) yang digunakan oleh peranti mudah alih ketika itu.

    Kenyataan turut menyatakan bahawa pada tahun 2005, perkhidmatan 3G telah diperkenalkan dengan ciri seperti panggilan video dan Internet mudah alih, sebelum menaik taraf kepada pengalaman Internet yang lebih baik dan pantas untuk penstriman video dan aplikasi telefon pintar melalui pengenalan teknologi 4G pada 2014.

    UNN telah menjalankan beberapa siri peningkatan pada rangkaian jalur lebarnya untuk menangani peningkatan trafik dan volum data yang berlaku semasa gelombang pertama, kedua dan ketiga pandemik.

    Projek transformasi berterusan UNN bertujuan untuk memodenkan lagi infrastruktur telekomunikasi sedia ada di negara ini untuk memenuhi ketersambungan, jalur lebar dan kualiti yang lebih tinggi dan mantap untuk negara sebagai persediaan untuk teknologi 5G, yang disasarkan dilancar tahun ini.

    Pada 1 September 2019, infrastruktur rangkaian empat penyedia telekomunikasi Brunei iaitu Telekom Brunei Berhad (TelBru), DST dan Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif), serta Brunei International Gateway Sdn Bhd (BIG), telah disatukan di bawah satu entiti, Unified National Networks Sdn Bhd (UNN).

    Setiap generasi perkhidmatan komunikasi mudah alih menyaksikan kelajuan yang lebih tinggi dan pengalaman pengguna yang dipertingkatkan oleh itu adalah satu perkembangan semula jadi bagi UNN untuk menyediakan negara bagi lonjakan teknologi seterusnya.

    Perkhidmatan 2G telah ditamatkan secara berperingkat dengan pemberhentian sepenuhnya pada 1 Jun 2021 dengan spektrum 2G digunakan semula untuk penyediaan perkhidmatan mudah alih yang lebih maju bagi membolehkan UNN menyampaikan standard kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan yang lebih tinggi.

    Projek pengembangan Rangkaian Capaian Radio (RAN) dan gentian yang sedang dijalankan yang dimulakan oleh UNN pada tahun 2020 telah meluaskan jangkauan rangkaian seluruh negara secara berterusan untuk membawa kelajuan yang lebih tinggi dengan ketara bagi perkhidmatan mudah alih, titik sambungan tambahan dan menyediakan perkhidmatan rangkaian tetap yang lebih baik di seluruh negara di mana orang ramai berada, terutamanya di kawasan terpencil di Negara Brunei Darussalam.

    Sejak itu UNN telah menjalankan beberapa siri peningkatan pada rangkaian jalur lebarnya untuk menangani peningkatan trafik dan volum data yang berlaku semasa gelombang pertama, kedua dan ketiga pandemik.

    Menurut kenyataan, pada tahun 2020, UNN telah mewujudkan lebih 25,000 sambungan pelanggan atau 50 peratus kadar penembusan isi rumah yang menggunakan perkhidmatan jalur lebar tetap dan pada awal suku tahun 2022, negara akan mencapai kadar penembusan 80 peratus yang merupakan satu pencapaian yang luar biasa dalam tempoh yang singkat.

    Projek transformasi berterusan UNN bertujuan untuk memodenkan lagi infrastruktur telekomunikasi sedia ada di negara ini bagi memenuhi ketersambungan, jalur lebar dan kualiti yang lebih tinggi dan mantap untuk negara sebagai persediaan bagi teknologi 5G, yang disasarkan untuk dilancarkan pada tahun ini.

    Walaupun 4G menumpukan pada penyampaian perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang lebih pantas berbanding 3G, teknologi 5G direka untuk menjadi platform bersatu dan lebih berkebolehan yang bukan sahaja meningkatkan pengalaman jalur lebar mudah alih, tetapi juga menyokong perkhidmatan baharu.

    Teknologi 5G dijangka memberikan kelajuan data yang lebih tinggi dengan kurang kelewatan berbanding teknologi 4G. Sesetengah perkhidmatan 5G akan menyediakan kawasan liputan dengan kelajuan data sehingga 100 kali lebih pantas dengan masa tindak balas yang hampir serta-merta.

    Sebagai ahli konsortium tiga sistem kabel dasar laut termasuk Asia Tenggara – Timur Tengah – Eropah Barat 3 (SE-ME-WE3), Gerbang Asia-Amerika (AAG), Kabel Asia Tenggara-Jepun (SJC), UNN terus memastikan bahawa orang ramai akan sentiasa mendapat akses kepada kandungan dari dunia.

    Ringkasnya, usaha yang telah dilakukan oleh UNN untuk memodenkan infrastruktur sedia ada akan menyokong manfaat teknologi 5G yang mana akan menyediakan pengguna dan perniagaan dengan kelajuan pemindahan data yang lebih pantas dan kebolehpercayaan rangkaian yang lebih baik. 

    Di samping itu, dengan penyedia perkhidmatan DST, imagine dan Progresif menyokong inisiatif 5G UNN, pengguna juga boleh menikmati tarif yang diperbaharui dan pakej perkhidmatan jalur lebar.

    Perkhidmatan telekomunikasi adalah tulang belakang kepada ekonomi digital dan merupakan bahagian penting dalam kerja dan kehidupan seharian kita. Sama ada esok, tahun ini atau tahun depan, apabila UNN mencapai objektifnya, pengguna di seluruh negara berkemungkinan akan mendapat pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan dengan kelajuan yang lebih pantas, kependaman yang lebih rendah (lower latency), kapasiti peranti yang dipertingkatkan dan pembaharuan yang menarik bagi tarif dan pakej perkhidmatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...