Sunday, April 28, 2024
31.9 C
Brunei

    -

    Tze Yong, tiga beregu campuran M’sia mara ke suku akhir

    SINGAPURA, 14 JULAI – Pemain badminton perseorangan lelaki Malaysia, Ng Tze Yong berjaya melangkah ke peringkat suku akhir dalam aksi sulungnya di pentas Super 500 Terbuka Singapura di Stadium Tertutup Singapura, kelmarin.

    Turut menggembirakan peminat badminton Malaysia adalah kejayaan tiga beregu campuran dari Malaysia, Chen Tang Jie-Valeree Siow, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei, dan Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mempamerkan aksi hebat untuk turut sama melakar kejayaan melangkah mara ke peringkat suku akhir.

    Tze Yong jelas menunjukkan kematangan dalam permainannya pada perlawanan kelmarin apabila berjaya menewaskan pemain nombor 15 dunia, Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong dengan 21-15, 21-13 dalam masa 33 minit.

    Dalam perlawanan berikutnya esok, pemain ranking ke-47 dunia itu akan berentap dengan pemain nombor enam dunia, Anthony Ginting dari Indonesia, yang telah menewaskan pemain Taiwan Lin Chun Yi dengan 21-12, 19-21, 21-16, dalam perlawanan yang berlangsung lebih sejam.

    Terdahulu, pasangan Tang Jie-Valeree menampilkan strategi tepat apabila membuat serangan pantas yang mengubah sama sekali corak permainan biasa pasangan Reginald Lee-Ng Tsz Yau, dan akhirnya berjaya menundukkan pasangan dari Hong Kong itu dengan 21-13, 21-7.

    Sementara itu, pasangan di ranking nombor 125 dunia, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei, kemudiannya meneruskan rentak kemenangan Malaysia dengan aksi cemerlang menundukkan beregu nombor 13 dunia dari Denmark iaitu gandingan Matthias Christiansen-Alexandra Boje dengan 21-11, 21-19.

    Manakala pasangan profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai yang tumpas dalam set pertama kepada pasangan dari Indonesia Rinov Rivaldi-Pitha Haningtyas Mentari dengan 10-21, bangkit dalam dua set berikutnya untuk memenangi perlawanan dengan 21-18, 21-10. Mereka dijadualkan bertemu dengan Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong dalam saingan berikutnya. – Bernama

    Pemain badminton perseorangan lelaki Malaysia, Ng Tze Yong berjaya menempah tempat di peringkat suku akhir dalam Super 500 Terbuka Singapura di Stadium Tertutup Singapura, kelmarin. – Agensi
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    4 maut diserang gajah liar di India

    NEW DELHI, 28 APRIL - Sekurang-kurangnya empat orang termasuk pegawai perhutanan maut diserang seekor gajah liar di negeri Assam, timur laut india, lapor Xinhua...