Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Wabak COVID uji keupayaan PBSM

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Penularan wabak COVID menuntut kebertanggungjawaban Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam sebagai auksiliari kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan amanah serta tanggungjawab kepada kemaslahatan dan keselamatan masyarakat umum negara ini.

    “Di samping itu juga, saya perlu berdepan dengan isu dan masalah yang masih belum selesai dalam tadbir urus persatuan terutama sekali dalam memperkasa hubungan persatuan bersama dengan agensi kerajaan untuk memupuk kerjasama whole of nation approach.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Presiden PBSM, Majlis Kebangsaan Sesi 2022-2024, Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff bin Pengiran Haji Bahar dalam ucapan penangguhan semasa Mesyuarat Agung Kebangsaan ke-10 bagi 2022 yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.

    Beliau turut berkata bahawa sesi 2022-2024 merupakan sesi yang penuh dengan pelbagai program di peringkat antarabangsa terutama sekali dalam penganjuran sebagai tuan rumah kepada Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara yang akan berlangsung di Negara Brunei Darussalam pada Oktober nanti.

    “Kita juga akan menjadi penganjur dan tuan rumah kepada Forum Kepimpinan Belia Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara yang akan diadakan pada Julai atau Ogos tahun ini.”

    Di samping itu, Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff turut menyatakan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar apabila PBSM Negara Brunei Darussalam mencapai usia 75 tahun penubuhannya sekali gus akan merayakan jubli intan pada 2023 serta menjadikan persatuan itu sebagai salah sebuah persatuan yang tertua di Negara Brunei Darussalam.

    Beliau berkata lagi, “Insya-Allah dengan gandingan kepimpinan yang sedia ada, saya penuh yakin akan dapat sama-sama menyumbang ke arah kemajuan dan perkembangan masa depan PBSM Negara Brunei Darussalam.”

    Terdahulu Mantan Presiden PBSM Negara Brunei Darussalam, Majlis Kebangsaan Sesi 2020-2022, Haji Muhd Suhaimi bin Haji Ibrahim berkata bahawa wabak pandemik COVID-19 adalah ujian dan cabaran yang terbesar kepada PBSM Negara Brunei Darussalam dalam menyediakan bantuan sokongan sukarelawan, kepakaran tenaga, perkhidmatan bantuan kemanusiaan untuk memastikan kemaslahatan dan kesejahteraan masyarakat ditangani dengan efisien untuk mengawal merebaknya virus itu di negara ini.

    Pada mesyuarat agung berkenaan, pengumuman ahli Majlis Kebangsaan Sesi 2022-2024 turut diadakan di mana presiden Majlis Kebangsaan Sesi 2022-2024 ialah Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff bin Pengiran Haji Bahar, timbalan presiden ialah Haji Muhd Suhaimi bin Haji Ibrahim, naib presiden ialah Pengiran Haji Mashor bin Pengiran Haji Jaya, setiausaha agung ialah Sheikh Kadir Abdullah dan bendahari kehormat ialah Awang Amirulrizal bin Makmun.

    Haji Muhd Suhaimi (tengah) menyampaikan ucapannya pada Mesyuarat Agung Kebangsaan PBSM Negara Brunei Darussalam ke-10 yang berlangsung di Centrepoint Hotel, Gadong, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...