Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Wang tak mampu balas jasa ibu bapa

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Warga emas tidak sepatutnya dianggap sebagai satu beban sehingga kebajikannya turut terabai.

    “Tiada apa yang lebih bermakna untuk diberikan kepada warga emas dalam meniti usia mereka, selain perhatian dan kasih sayang daripada anak-anak mereka,” ujar khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Hormati dan Sayangi Warga Emas’.

    Menurut khatib lagi, pada usia inilah kebiasaan ibu bapa yang mencapai umur lanjut memerlukan perhatian dan kasih sayang anak-anak mereka dan sebagai anak pula, ada kalanya bermacam-macam kerenah yang dihadapi dalam menjaga orang tua.

    Terdapat segelintir orang tua yang sikapnya semakin pemarah, cerewet, semakin sensitif atau mudah tersinggung perasaan dan seumpamanya.

    Dalam menghadapi situasi ini, jelas khatib, sebagai anak perlu bersabar melayani kerenah mereka dan jangan sekali-kali marah, mengherdik, menggertak dan memukul orang tua kerana perbuatan itu akan menggores dan menyakiti hati mereka.

    Gambar fail menunjukkan khatib semasa solat fardu Jumaat. Khutbah Jumaat kelmarin menekankan tajuk mengenai ‘Hormati dan Sayangi Warga Emas’.

    “Ingatlah, jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga dan membesarkan anak-anak tidak akan dapat dibalas walau dengan nyawa, harta dan wang ringgit,” tekan khatib.

    Beliau turut menekankan sikap hormat-menghormati perlu disemai sejak kecil lagi, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa, orang tua atau warga emas sama ada yang mempunyai hubungan kekeluargaan ataupun tidak.

    Negara Brunei Darussalam melalui kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa menitikberatkan kebajikan dan kesejahteraan golongan warga emas di negara ini supaya sentiasa terjaga dan terpelihara.

    Hal ini selaras dengan dasar negara dan inisiatif Majlis Kebangsaan Isu Sosial di bawah Pelan Tindakan Warga Emas dalam memastikan warga emas diberikan perhatian khusus untuk menjalani kehidupan secara inklusif di negara ini.

    Pada 1 Oktober 2021, kerajaan Baginda telah pun memperkenankan Penguatkuasaan Perintah Orang Kurang Upaya 2021 dan Perintah Akta Pencen Umur Tua dan Kurang Upaya (pindaan) 2021.

    Peruntukan undang-undang ini, merupakan tanda pemedulian bagi golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di negara ini di mana kesejahteraan dan perlindungan dua golongan ini telah diberi keutamaan yang tinggi dalam agenda kebangsaan.

    Di samping itu, tanggungjawab terhadap warga emas bukan hanya melibatkan kerajaan sahaja namun ia amanah semua pihak khasnya anak-anak.

    Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas disambut pada setiap 1 Oktober setiap tahun di seluruh dunia, dan Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali meraikannya.

    Tema sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas tahun ini, ‘Daya Tahan dan Sumbangan Golongan Warga Emas Wanita.’

    Sambutan yang diraikan ini, tambahnya, adalah sebagai tanda penghargaan atas inisiatif dan pencapaian warga emas dalam pembangunan, penglibatan dan sumbangan kepada masyarakat dan negara.

    Selain itu, sambutan ini juga adalah sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap cabaran dalam kehidupan yang dihadapi oleh warga emas di samping mengingatkan yang mereka juga elemen penting dalam institusi keluarga, perkembangan masyarakat dan pembangunan negara.

    Menyedari hakikat itu, keperluan aktiviti atau program secara bersama dan khidmat kemasyarakatan antara warga emas dan belia adalah antara usaha yang patut dikembangkan.

    Ini bagi memastikan warga emas akan terus aktif serta dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara secara inklusif dan perlu diingat kesejahteraan sosial dan pembangunan yang dinikmati hari ini adalah hasil usaha gigih generasi terdahulu.

    Khatib seterusnya menyeru untuk sama-sama menghormati, menyayangi dan menjaga kebajikan kedua-dua ibu bapa serta warga emas, janganlah diabaikan dan disia-siakan hidup mereka, berikan kasih sayang yang sepenuhnya dan pastikanlah kehidupan mereka sempurna, terjamin dan sejahtera.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...